Wujud skim kerja khas bantu warga emas, saran ahli akademik

Wujud skim kerja khas bantu warga emas, saran ahli akademik

Zumilah Zainaludin dari Universiti Putra Malaysia berkata, skim itu perlu bersesuaian tahap kecergasan dan kesihatan warga emas yang memerlukan pendapatan.

Seorang ahli akademik berkata, dengan adanya skim pekerjaan khas, isu warga emas kesepian dan terpinggir dapat ditangani. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Seorang ahli akademik menyarankan kerajaan memperkenalkan skim pekerjaan khas bagi membantu warga emas tidak mempunyai simpanan mampan.

Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia, Zumilah Zainaludin berkata, skim itu perlu disesuaikan dengan tahap kecergasan dan kesihatan warga emas.

Zumilah Zainaludin.

“Contohnya tempoh jam bekerja, mungkin empat hingga lima jam dan juga kadar gaji. Skim tersebut perlu berada di luar skim pekerjaan normal yang mana warga emas tidak mengganggu peluang pekerjaan golongan muda.

“Dalam proses kita sedang menua, ramai warga emas terpaksa meniti hari tua dengan sekuriti kewangan atau jumlah simpanan amat sedikit,” katanya menurut Astro Awani.

Beliau berkata, industri keusahawanan dalam kalangan warga emas juga perlu diperkasa bagi membantu mereka menambah simpanan kerana masih mempunyai banyak komitmen walaupun selepas pencen.

Dengan adanya skim itu, katanya, isu warga emas kesepian dan terpinggir juga dapat ditangani.

“Mereka perlu terlibat secara aktif dalam masyarakat. Ini supaya mereka boleh terlibat, boleh bekerja, boleh bergerak. Perkara ini perlu digalakkan supaya mereka terus mempunyai kesihatan mental yang baik.

“Warga emas dementia lebih sukar diuruskan berbanding warga emas aktif. Ia merupakan satu perkara yang perlu kita sedar sebagai anggota masyarakat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.