Video tular berhibur tanpa permit, lelaki miliki kad pesakit mental ditahan

Video tular berhibur tanpa permit, lelaki miliki kad pesakit mental ditahan

Polis berkata, tiada jualan tiket untuk persembahan muzik dari 9 pagi hingga 7 malam itu dan terdapat aktiviti mengambil minuman keras oleh pengunjung.

Polis menahan lelaki 28 tahun itu di pekarangan IPD Gua Musang pada 9.30 malam Khamis lalu.
GUA MUSANG:
Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan satu rakaman video tular memaparkan sekumpulan anak muda berhibur di sebuah dewan di Paloh, di sini minggu lepas.

Ketua Polis Gua Musang, Sik Choon Foo, berkata lelaki berusia 28 tahun itu ditahan di pekarangan IPD Gua Musang pada 9.30 malam Khamis lalu.

Beliau berkata, lelaki itu mempunyai kad pesakit mental serta menerima rawatan susulan di Klinik Kesihatan Chiku 3, di sini dan didapati negatif sebarang dadah berbahaya.

“Hasil siasatan awal mendapati empat kumpulan muzik hadir di dewan pada 23 Sept lalu (Sabtu), termasuk dua dari Kelantan dan satu kumpulan masing-masing dari Terengganu dan Kuala Lumpur.

“Tempahan dewan dibuat menerusi aplikasi WhatsApp kepada penjaga dewan pada 4 Sept lalu dengan kadar RM200 secara transaksi atas talian bagi tujuan sewaan untuk bermain muzik,” katanya dalam kenyataan.

Sik berkata, persembahan muzik bermula 9 pagi hingga 7 malam, namun tiada sebarang tiket dijual untuk persembahan itu.

“Siasatan turut mendapati 30 individu hadir dalam persembahan hiburan terbabit, malah terdapat aktiviti meminum minuman keras oleh pengunjung.

“Tiada sebarang permit permohonan hiburan dipohon pihak penganjur. Polis masih mengesan seorang lelaki yang membuat sepanduk acara dan permohonan sewaan dewan bagi persembahan hiburan tersebut.”

Beliau berkata, sebuah telefon bimbit dirampas bagi membantu siasatan dan pihaknya tidak menerima sebarang permohonan permit penganjuran persembahan hiburan muzik daripada mana-mana pihak sehingga kini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 6 Enakmen Hiburan 1998. Kami menyeru mana-mana individu mempunyai maklumat berkaitan video sekumpulan anak muda sedang berhibur itu menyalurkan maklumat di 09-9121222 atau balai berdekatan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.