Heret pihak tinggalkan pekerja asing terkandas ke mahkamah, kata menteri

Heret pihak tinggalkan pekerja asing terkandas ke mahkamah, kata menteri

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, berkata ramai majikan mengambil lebih ramai pekerja daripada jumlah yang mereka mampu kendalikan.

Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh, Golam Sarwar (tengah, berkaca mata) bersama sekumpulan pekerja terkandas tanpa pekerjaan selepas tiba di Malaysia pada April lalu.
BUTTERWORTH:
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar menggesa tindakan undang-undang diambil terhadap pihak membawa masuk pekerja asing yang gagal menyediakan pekerjaan.

“Tindakan tegas perlu diambil dan mereka perlu diheret ke mahkamah,” katanya di kawasan perindustrian Perai di sini tanpa menyatakan pihak itu ialah majikan atau ejen.

Beliau berkata, kumpulan terbesar yang terjejas ialah warga Bangladesh kerana mempunyai permintaan tinggi di Malaysia.

Katanya, ramai majikan mengambil lebih ramai pekerja asing daripada jumlah yang mereka mampu kendalikan.

Sebelum pengambilan pekerja asing dibekukan pada Mac, kebanyakan syarikat memohon sejumlah besar pekerja asing, dengan jangkaan mereka hanya akan menerima separuh daripada jumlah diminta.

Selepas kerajaan meluluskan jumlah diminta, syarikat itu mendapati mereka mempunyai lebihan buruh yang tidak tahu hendak diberikan pekerjaan apa.

“Kemudian majikan ini tersepit. Mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan dengan pekerja tambahan itu.”

Insentif gaji progresif

Sivakumar menyentuh insentif untuk syarikat mengamalkan sistem gaji progresif, di mana pekerja diberi ganjaran berdasarkan prestasi dan inisiatif.

Katanya, gaji minimum kekal wajib untuk semua, manakala mereka yang memilih model progresif bakal menerima insentif kerajaan.

Insentif latihan dalaman

Mengenai latihan pemadanan kemahiran, beliau berkata, program akademi dalam industri akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Katanya, pekerja akan mendapat latihan dalaman di syarikat komersial, dengan kerajaan menyediakan RM1,500 dalam bentuk elaun berperingkat sepanjang 18 bulan berada di syarikat itu, selain gaji pokok mereka.

Beliau berkata, syarikat menganjurkan dan melatih mereka turut diberikan insentif tunai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.