
PETALING JAYA: Seorang remaja lemas, manakala rakannya hilang dihanyutkan arus deras di Sungai Meluan, Bintangor petang tadi.
Harian Metro memetik jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mayat Abdul Rezan Abdul Jalil, 15, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) terapung pada jarak 20m dari lokasi terakhir mangsa dilihat bermandi-manda pada 5.47 petang.
Beliau berkata, rakan mangsa dikenali Ferdinand Raymond Jiram, 16, belum ditemui dan usaha mengesannya terpaksa ditangguhkan akibat keadaan gelap.
Berdasarkan maklumat awal daripada bapa Ferdinand, katanya, kejadian berlaku sekitar 3 petang apabila anaknya dan mangsa dilihat cuba menyeberangi sungai itu, tetapi gagal dan dihanyutkan arus deras.