PRK Pelangai: Polis hanya jaga keselamatan, Saifuddin sifatkan aduan PN ‘pelik’

PRK Pelangai: Polis hanya jaga keselamatan, Saifuddin sifatkan aduan PN ‘pelik’

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution berkata polis bertanggungjawab menjaga keselamatan dan ketenteraman awam ketika pilihan raya.

Tiada parti dihalang mendekati rakyat, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution.
KUALA LUMPUR:
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan aduan pemimpin Perikatan Nasional (PN) berhubung kehadiran polis dalam PRK Pelangai sebagai “pelik”.

Beliau berkata polis sememangnya bertanggungjawab menjaga keselamatan dan ketenteraman awam ketika tempoh pilihan raya.

“Tak ada sebarang laporan sebuah parti dihalang oleh polis untuk mendekati rakyat,” kata Saifuddin kepada pemberita di suatu majlis anjuran kementerian di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak.

“Polis turut memantau tiada individu membangkitkan isu sensitif dan mengapi-apikan semangat sehingga membangkitkan isu perpaduan dan ketenteraman rakyat.”

Jumaat lalu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata ‘kehadiran luar biasa’ juga boleh memberi gambaran tidak sihat kepada amalan demokrasi, termasuk menimbulkan keresahan dalam kalangan penyokong.

Beliau mendakwa, kehadiran kereta peronda terlalu kerap di markas operasi dengan alasan mendapatkan maklumat kekuatan petugas dan gerak kerja sedangkan ia tiada kaitan dengan agensi itu.

“Yang diadu adalah polis hadir memberi kawalan keselamatan. Yang itu punya aduan pelik sikit,” kata Saifuddin.

“Orang ramai tidak perlu bimbang dan perlu patuh pada undang-undang sepanjang tempoh berkempen di DUN Pelangai.”

Dalam pada itu, Saifuddin berkata kerajaan belum ada sebarang ketetapan berhubung dua rakyat Malaysia yang ditahan di Penjara Teluk Guantanamo, Cuba, susulan pertemuan dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat baru-baru ini.

“Belum ada apa-apa ketetapan. Sebarang perkembangan akan maklumkan,” katanya.

Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin berdepan tuduhan di Mahkamah Tentera Amerika Syarikat, termasuk berkaitan pengeboman di Bali pada Oktober 2002 dan di Jakarta pada Ogos 2003. Mereka ditahan di Thailand pada 2003 sebelum dipindahkan ke Teluk Guantanamo pada 2006.

Sementara itu, Saifuddin tidak mahu mengulas khabar angin beliau akan ditukar ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, di sebalik desas-desus mengenai rombakan Jemaah Menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.