
Ketua Polis Cheras, Zam Halim Jamaluddin berkata pihaknya sedang menyiasat motif kejadian itu dan akan meneliti laporan mangsa mendakwa dilarikan sebelum dibawa ke Balai Polis Salak Selatan Baru.
“Kita akan meneliti dan menyemak semula dakwaan mangsa yang menyatakan dia dilarikan dan dipukul di dalam balai polis.
“Pada masa ini, saya tidak dapat memberikan butiran lanjut sehinggalah siasatan selesai,” katanya menurut Sinar Harian di IPD Cheras.
Beliau berkata, kertas siasatan akan dirujuk ke Bukit Aman sebelum diserahkan kepada timbalan pendakwa raya kerana membabitkan pegawai serta anggota polis.
Ditanya sama ada suspek lain terbabit, beliau dipetik Harian Metro berkata: “Kemungkinan ada tangkapan lain selepas ini, bergantung kepada rakaman keterangan.”
Media sebelum ini melaporkan lima anggota polis antara enam suspek ditahan kerana disyaki melarikan seorang lelaki berusia 26 tahun dari sebuah kedai makan di Desa Petaling pada Selasa lalu.
Semua suspek berusia 27 tahun hingga 42 tahun itu ditahan di IPD Cheras. Kes disiasat di bawah Seksyen 365, 342 dan 323 Kanun Keseksaan.