3 ditahan, arak seludup RM1.5 juta dirampas

3 ditahan, arak seludup RM1.5 juta dirampas

Tiga yang ditahan itu masing-masing seorang wanita Vietnam, lelaki tempatan dan lelaki warga asing.

Zam Halim Jamaluddin (tengah) menunjukkan sebahagian minuman keras seludup yang dirampas dalam dua serbuan Jumaat lalu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis merampas minuman keras seludup tidak bercukai bernilai RM1.5 juta dan menahan tiga individu, termasuk seorang wanita Vietnam dalam dua serbuan di Jalan Sungai Besi, Cheras Jumaat lalu.

Ketua Polis Cheras, Zam Halim Jamaluddin, berkata dalam serbuan pertama, sepasukan pegawai dan anggota dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih menahan seorang wanita Vietnam berumur 44 tahun di sebuah premis di Jalan Sungai Besi.

“Dalam serbuan pada 2 petang itu, polis merampas 108 kotak arak dan 116 karton arak pelbagai jenama dianggarkan lebih RM230,000,” katanya dalam sidang media di IPD Cheras di sini.

Susulan soal siasat terhadap suspek pertama itu, beliau berkata, polis menyerbu sebuah lagi premis di Jalan Sungai Besi dan menahan dua lelaki berusia 29 dan 31 tahun, masing-masing seorang warga tempatan dan warga asing pada 3.30 petang hari sama.

“Polis merampas sembilan kotak arak dan 1,818 karton arak pelbagai jenama dianggarkan lebih RM1.2 juta, selain sebuah lori Mitsubishi Fuso.”

Katanya, suspek warga tempatan itu direman empat hari hingga 3 Okt ini, manakala warga asing direman 14 hari sehingga 13 Okt nanti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.