
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama) menggesa umat Islam memanfaatkan teknologi ke arah kebaikan, dan bukan untuk menjadi penyebar fitnah dan pemecah belah masyarakat.
“Usahlah direntap keharmonian serta kesepakatan yang dinikmati masyarakat,” katanya dalam ucapan sempena sambutan Maulidur Rasul di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
“Adalah amat menyedihkan, masih ada pihak yang tidak bertanggungjawab, umpama api dalam sekam, sengaja menjadikan sentimen agama dan perkauman sebagai senjata untuk meraih sokongan dan kepentingan tertentu.”
Na’im turut menyeru umat Islam memilih sumber yang berautoriti untuk menjawab kemusykilan berhubung hukum agama dan fatwa.
“Semoga dengan pencerahan tersebut dapat menangani daripada terus berleluasa isu-isu fitnah, adu domba serta apa-apa perkara yang boleh menjurus kepada perpecahan,” katanya.
Beliau menyeru pengguna media sosial supaya saling hormat-menghormati, berlapang dada, dan menjaga akhlak ketika berbeza pendapat, seiring ajaran Nabi Muhammad.