
Sejak awal tahun ini, Najib Lep gigih membina sebuah rumah di Kampung Jeram Masjid untuk Nazir memulakan hidup baharu apabila pulang nanti.
Setakat ini, pihak berkuasa AS tidak memberi sebarang petunjuk mencadangkan mereka berhasrat membebaskan Nazir dan Mohammed Farik Amin, yang ditahan bersama-sama kerana disyaki terlibat dengan kegiatan keganasan 20 tahun lepas.
Bagaimanapun, laporan berita asing baru-baru ini memberikan harapan kepada Najib.
“Kami mula bina rumah ini pada awal tahun ini dan ia sudah 90% siap. Tanahnya pemberian arwah ayah kami, Lep Jasmani.

“Ada kawasan cukup untuk Nazir tanam sayur-sayuran, buat sedikit akuakultur dan bina semula kehidupannya,” kata Najib kepada FMT.
Katanya, Nazir, yang kini berusia 47 tahun, meninggalkan rumah 22 tahun lepas, dan sejak itu, mereka sekeluarga setia menantikan kepulangannya. Nazir, anak bongsu daripada lapan adik-beradik, belum berkahwin.
Menurut Najib, saat paling sayu bagi keluarganya adalah apabila ibu mereka meninggal dunia pada 2009, tanpa sempat berjumpa Nazir yang sangat rapat dengannya sejak kecil.
Najib yang juga bekas Adun Johor berkata, adiknya menderita akibat ketidakadilan yang berat apabila ditahan tanpa bicara terlalu lama.
“Dikurung bersendirian selama lebih 22 tahun sangat tidak berperikemanusiaan,. Keluarga kami sangat sedih dan berdoa dia akan segera pulang,” katanya kepada FMT.
Laporan berita asing memetik dokumen yang difailkan dengan mahkamah tentera di Guantanamo bulan lepas memberi bayangan wujudnya rancangan untuk kedua-dua mereka dihantar pulang ke Malaysia bagi menghadapi prosiding mengikut undang-undang tempatan.
Pada Isnin, penganalisis antikeganasan Ahmad El-Muhammady daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia memberitahu portal berita BeritaBenar bahawa satu perjanjian berhubung penghantaran pulang Nazir dan Farik mungkin sedang diusahakan.
“Ini satu langkah ke hadapan untuk memenuhi perspektif hak kemanusiaan,” katanya.

Najib berkata, beliau dapat bercakap dengan adiknya menerusi Skype beberapa kali, bertanyakan khabar serta memaklumkannya tentang hal keluarga dan lain-lain.
Pada 2003, Nazir dan Farik ditangkap di Thailand berikutan kejadian pengeboman di Hotel JW Marriott, Jakarta pada Ogos tahun itu.
Mereka turut disyaki terlibat dalam pengeboman berkembar yang mengorbankan 202 orang di Bali pada Oktober tahun sebelumnya, serangan keganasan yang mengorbankan paling ramai mangsa di Indonesia setakat ini.
Setelah ditangkap, mereka diletakkan dalam kurungan bersendirian di tapak rahsia dikendalikan CIA sebelum dipindahkan ke Teluk Guantanamo pada 2006.
Mereka hanya didakwa pada Ogos 2021, bersama warga Indonesia Encep Nurjaman, atau Hambali, yang dikatakan dalang kejadian pengeboman itu.
Bagaimanapun, perbicaraan tidak dapat diteruskan kerana kerajaan AS tidak dapat menyediakan jurubahasa Melayu yang bertauliah.
Apabila dihubungi, peguam mewakili Nazir, Brian Bouffard berkata, beliau tidak dapat mendedahkan sebarang butiran mengenai perkara itu buat masa ini.