
Beliau berkata, tindakan itu akan menyebabkan perkhidmatan transaksi tanpa tunai berkenaan tidak lagi menjadi pilihan peniaga, dan dikhuatiri bakal membawa kembali cara urus niaga zaman dahulu.
“Peniaga sudah pasti tidak lagi mahu menggunakan sistem ini sebagai salah satu cara pembayaran kepada servis yang mereka tawarkan.
“Mereka akan kembali kepada urusniaga tunai dan ia membantutkan usaha mengembangkan penggunaan transaksi tanpa tunai,” katanya dalam kenyataan, sambil menyifatkannya sebagai suatu “langkah ke belakang”.
Beliau berkata, inisiatif kerajaan seperti bantuan e-wallet kepada golongan belia mahupun inisiatif bagi menggalakkan penggunaan transaksi tanpa tunai khususnya di kaunter agensi kerajaan, turut akan terjejas.
“Pihak bank boleh menyerap bayaran yuran transaksi ini, seperti dilakukan selama ini.
“Tiada masalah yang timbul bahkan pihak bank setiap tahun melaporkan keuntungan berlipat kali ganda walaupun menanggung kos perkhidmatan ini,” katanya.
Hari ini, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mengesahkan peniaga akan dikenakan caj transaksi untuk pembayaran diterima melalui DuitNow mulai 1 Nov.
Ketika ini katanya, pembayaran kad debit dan kredit tertakluk kepada MDR, manakala pengecualian diberikan kepada pembayaran QR.
Menurutnya, MDR bukan caj baharu atau tambahan, sebaliknya ia dikecualikan bagi menggalakkan penggunaan pembayaran kod QR ketika diperkenalkan pada 2019.
Syarikat itu tidak menjangkakan harga barangan dan perkhidmatan akan terjejas selepas MDR dilaksanakan semula.