‘Tindakan saya betul ikut undang-undang’, Akmal jawab tuduhan ugut pengilang beras

‘Tindakan saya betul ikut undang-undang’, Akmal jawab tuduhan ugut pengilang beras

Dr Akmal Saleh turut menafikan membuli pengilang seperti didakwa bekas naib presiden MCA Ti Lian Ker.

Dr Akmal Saleh berkata tinjauannya ke kilang beras mendapati pengilang menyimpan banyak bekalan beras tempatan.
PETALING JAYA:
Exco Melaka Dr Akmal Saleh mempertahankan tindakannya sebagai betul dari segi undang-undang apabila mengancam menarik lesen pengilang enggan menjual beras tempatan mengikut harga ditetapkan kerajaan dalam video tular semalam.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka itu turut menafikan beliau membuli pengilang seperti didakwa bekas naib presiden MCA Ti Lian Ker, menegaskan tindakannya itu membela rakyat yang “sengsara” kerana bekalan beras tempatan tidak mencukupi.

Tegasnya, beliau bertindak mengikut bidang kuasa dan berkhidmat untuk menjaga kepentingan rakyat, bukannya “tauke”.

“Saya bersedia untuk terima apa pun sebab saya tahu apa ini (tindakan) betul di sisi undang-undang,” katanya kepada FMT mengulas teguran Ti yang menyifatkan tindakan Akmal sebagai “membuli serta ugutan” terhadap pengilang beras.

Kenyataan Ti itu menyusul penularan video Akmal melawat kilang beras dan membidas pengilang yang tidak mengeluarkan beras tempatan kerana mendakwa margin keuntungan kecil.

Beliau juga “mengugut” untuk menarik balik lesen pengilang terbabit.

Akmal yang juga ketua Pemuda Umno menegaskan Ti sebenarnya tidak memahami isu sedang dihadapi rakyat, sambil menambah bekas timbalan menteri itu boleh bertemu dengannya jika mahukan penjelasan lanjut.

“Yang membuli rakyat ini jauh lebih teruk, polisi kerajaan dah minta dijual dengan harga RM26. Tapi dia (pengilang) masih lagi cakap tak ada untung. Jadi yang sebenarnya yang membuli rakyat ni siapa.

“Yang buli rakyat ni pengilang-pengilang ni,” tegasnya merujuk tindakan segelintir pengilang menyimpan bekalan beras tempatan sebaliknya hanya mengeluarkan harga beras import yang mahal harganya.

Akmal mendakwa dalam kunjungannya ke kilang terbabit mendapati sebanyak 89 tan metrik beras tempatan telah disimpan oleh pengilang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.