
Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan berkata selepas meneliti alasan dibuat Hakim Anselm Charles Fernandis itu, mesyuarat pimpinan tertinggi PAS akan bermesyuarat bagi membuat keputusan muktamad.
“Kita akan buat keputusan sama ada merayu atau tidak selepas melihat perakuan Hakim Mahkamah Pilihan Raya yang mendengar kes ini, iaitu berdasarkan Seksyen 37 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya kepada FMT.
Mahkamah Pilihan Raya Terengganu semalam membatalkan kemenangan wakil PAS Che Alias Hamid yang mewakili Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Kemaman pada PRU15.
Keputusan itu dibuat selepas mendapati bantuan i-Belia dan i-Siswa diberi kerajaan negeri kepada pengundi semasa tempoh berkempen adalah rasuah.
Pada PRU15, Che Alias memenangi kerusi itu dengan majoriti 27,179 undi dalam pertandingan empat penjuru yang turut membabitkan bekas menteri besar Terengganu Ahmad Said dari Barisan Nasional (BN).
PRK akan diadakan jika PAS tidak merayu keputusan itu sebelum 3 Okt ini.
Jun lalu, kemenangan PN di Parlimen Kuala Terengganu turut dibatalkan atas alasan sama, PAS tidak merayu keputusan itu yang membawa kepada PRK serentak dengan PRN di enam negeri lain pada bulan lalu.
Ahmad Amzad Hashim yang dicalonkan semula menang dengan majoriti 47,226 undi.