
Pengarah urusan pasar raya besar Mydin itu berkata, pengilang tempatan kurang berminat mengeluarkan beras itu memandangkan harga siling semasanya rendah, iaitu RM26 bagi setiap 10kg.
“Langkah (menaikkan harga siling beras putih tempatan) akan menambah baik struktur kos bagi pengeluar dan membantu meringankan masalah kekurangan (bekalan). Ini penyelesaian lebih baik berbanding cuba mengekalkan harga pada RM26 (memandangkan) bekalan masih tidak mencukupi,” katanya.
Ameer juga berkata, langkah kerajaan baru-baru ini membenarkan pengusaha restoran membeli beras putih import pada harga borong bukan sesuatu yang bijak. Katanya, ini akan menguntungkan perniagaan yang lebih besar dengan mengorbankan peniaga kecil.
Katanya, keputusan mengeluarkan lesen kepada pengusaha restoran membenarkan mereka membeli beras import pada harga borong RM3.20 sekilogram daripada Padiberas Nasional Bhd (Bernas) adalah tidak adil.
“Penyelesaian mestilah mudah, adil dan (tidak sepatutnya) membawa kepada penyalahgunaan. Kita tidak mahu wujud monopoli lagi,” katanya kepada FMT.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu mengumumkan keputusan itu pada 24 Sept, menyifatkannya sebagai langkah jangka pendek untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan beras putih tempatan yang sedang berlaku.
Menteri itu juga berkata pembelian beras import telah berkurangan berikutan kenaikan harga.
Bagaimanapun, Ameer berkata, butiran lanjut mengenai inisiatif itu diperlukan untuk memastikan ia dilaksana dengan betul.
“Bagaimana kerajaan hendak pastikan pengusaha makanan diberi keutamaan harga? Malaysia negara yang besar dengan gerai makanan di merata-rata tempat.
“Bagaimana pula dengan pengusaha kantin dan peniaga kecil, seperti mereka yang menawarkan Menu Rahmah?” soalnya merujuk kepada inisiatif hidangan set makanan berharga RM5 yang diperkenalkan awal tahun ini.
Beliau turut bertanya bagaimana kerajaan akan mengekalkan harga RM3.20 sekilogram bagi beras putih import, memandangkan kos varieti tempatan, menurut pemborong, sudah pada paras RM3.10 sekilogram.
Ameer memberi amaran bahawa pelancaran inisiatif itu boleh menjadi “mimpi ngeri logistik” kerana pengedar besar biasanya menghantar kepada pemborong dan kedai, bukan terus ke restoran.