Cabaran BN ialah peroleh majoriti meyakinkan, kata penganalisis

Cabaran BN ialah peroleh majoriti meyakinkan, kata penganalisis

BN perlu menjangkakan peralihan undi segelintir pengundi kepada Perikatan Nasional (PN) terutama dari kawasan Felda.

BN mempertahankan DUN Pelangai pada PRU15 dengan majoriti 4,048 undi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Cabaran bagi Barisan Nasional pada PRK DUN Pelangai akan datang barangkali memperoleh jumlah majoriti undi yang meyakinkan, di sebalik jangkaan penganalisis bahawa gabungan berupaya mempertahankan kerusi itu.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata dari segi teori BN tiada masalah mempertahankan kerusi tradisi itu sekiranya kerjasama dengan Pakatan Harapan menarik sokongan pengundi bukan Melayu, yang membentuk 20% daripada pengundi di situ.

Katanya, kemenangan dengan majoriti yang meyakinkan akan menggalakkan semangat parti-parti pemerintah.

“Atas kertas rasa tiada masalah BN pertahankan. Cuma nak lihat peratusan majoriti banyak mana. Kalau majoriti lebih besar daripada PRU15 maksudnya moral kerajaan perpaduan lebih bagus,” kata Mazlan kepada FMT.

Di sebalik keyakinan pemimpin Umno Pahang terhadap peluang BN, Mazlan berkata gabungan itu perlu menjangkakan peralihan undi segelintir pengundi kepada Perikatan Nasional terutama dari kawasan Felda.

Mazlan mengingatkan bahawa pentadbiran Muhyiddin Yassin lalu banyak memberi tumpuan kepada Felda. “Mungkin mereka (penduduk) rasa terhutang budi.”

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya pula menjangkakan peratusan keluar mengundi yang rendah di kubu kuat BN itu pada pilihan raya kali ini.

“Memang ada serangan daripada PN tapi saya kira akhirnya BN boleh menang. Cuma undi kita tahu PRK orang tak minat keluar mengundi,” katanya.

Pada PRU15, BN mempertahankan DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi, selepas meraih 7,308 undi berbanding calon PN (3,260 undi), PH (2,031 undi), dan Pejuang (65 undi). Pada pilihan raya terdahulu, BN menang dengan majoriti 2,312 undi.

PRK Pelangai diadakan susulan kematian penyandang, Johari Harun yang terkorban dalam tragedi pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, bulan lepas.

BN meletakkan anak jati Felda Chemomoi, Amizar Abu Adam, 50, manakala PN mencalonkan kembali Kasim Samat, 63, yang tewas kepada Johari pada PRU15 lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.