
DVS berkata, status itu berdasarkan hasil survelan ke atas 399 sampel babi komersial sehingga Ogos lepas yang menunjukkan keputusan ujian negatif.
Penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus Nipah itu boleh tersebar melalui sentuhan langsung dengan haiwan terjangkit, udara yang dicemari dengan titisan pernafasan, rembesan dari hidung dan mulut, atau tisu dari haiwan dijangkiti.
Menurut DVS, penyakit Nipah pertama kali dikesan di Malaysia pada 1998 melibatkan ladang babi di Perak dan merebak ke Negeri Sembilan.
Kejadian itu menyebabkan kerugian besar bukan sahaja kepada penternak babi dan ekonomi negara malah turut meragut 105 nyawa manusia.
“Usaha pembasmian secara besar-besaran melibatkan pelbagai jabatan dan agensi telah dijalankan ketika itu, dan pada awal 2001, Malaysia diisytihar bebas dari penyakit Nipah oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH),” menurut kenyataan DVS.
Sehingga kini, Malaysia masih mengekalkan status bebas Nipah melalui program survelan berkala dan penyakit Nipah disenaraikan dalam Penyakit Wajib Lapor yang diwartakan bawah Perkara 31(1) Akta Binatang 1953.
Menurut DVS, survelan akan terus dijalankan untuk memastikan industri ternakan babi di Malaysia bebas daripada sebarang ancaman penyakit.
Tambahnya, pihaknya juga sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga agar penyakit yang bersifat zoonotik, iaitu penyakit bawaan haiwan yang boleh menjangkiti manusia, itu dapat dicegah daripada memasuki negara.
“Penternak babi dinasihatkan untuk tidak menanam pokok buah-buahan di dalam dan sekitar kawasan ladang yang boleh menarik haiwan, terutamanya keluang (spesies keluarga kelawar) yang boleh menjadi perumah semulajadi virus Nipah.”