Mat Sabu saran kerajaan negeri bangunkan kawasan tanam padi

Mat Sabu saran kerajaan negeri bangunkan kawasan tanam padi

Menteri pertanian dan keterjaminan makanan berkata ia bagi meningkatkan pengeluaran beras dalam negara.

Mohamad Sabu berkata terdapat beberapa negeri berpotensi dibangunkan tanaman padi iaitu Sabah dan Sarawak selain kawasan sawah terbiar di Negeri Sembilan.
PORT DICKSON:
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyarankan kerajaan negeri membangunkan kawasan penanaman padi di negeri masing-masing bagi meningkatkan pengeluaran beras dalam negara.

Menterinya Mohamad Sabu berkata, langkah itu juga memerlukan kerjasama pelbagai kementerian termasuk KPKM, Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Beliau berkata, terdapat beberapa negeri yang turut berpotensi dibangunkan tanaman padi iaitu Sabah dan Sarawak, selain kawasan sawah terbiar di Negeri Sembilan, serta mencari jalan terbaik untuk meningkatkan sistem pengairan untuk tanaman tersebut.

“Hal padi dan beras ini bukan tanggungjawab individu, dia tanggungjawab seluruh negara, sekuriti makanan ni semuanya kena terlibat termasuk kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, swasta dan pengusaha. Ia masalah negara dan dunia, semua kena tumpu ke arah mengurangkan bebanan ini.

“Tanah ialah kuasa kerajaan negeri dan mesti mereka bekerjasama, tak kiralah dia pembangkang ke pemerintah ke, soal makanan ini, takda (isu) pembangkang tak perlu makan, pemerintah tak perlu makan, kerana semuanya perlu.

“Di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), kita bantu sistem pengairan supaya dapat buat padi lima musim dua tahun. Tapi tak bolehlah lancarkan tahun ini, tahun depan akan berjaya, ambil masa sekurang-kurangnya tiga, empat tahun dari sekarang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Himpunan dan Deklarasi Usahawan Pemasar Agro Madani (Khidmad) 2023.

Mengenai program Intervensi Pengedaran Beras Putih Tempatan (BPT), beliau berkata stok BPT akan ditingkatkan ke setiap negeri kepada 1,100 metrik tan sebulan, bagi memenuhi keperluan orang ramai dengan penambahan kepada 5,000 pusat jualan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), terutama di kawasan pedalaman dan pinggir bandar.

Justeru, beliau sekali lagi menasihatkan orang ramai tidak membuat pembelian panik, kerana bekalan BPT masih mencukupi dan belum menggunakan stok kecemasan, selain BPT itu akan dihantar ke pasar raya supaya tidak tertumpu di pusat jualan Fama dan Lembaga Pertubuhan Peladang.

Selain itu, Mohamad berkata beliau akan mengadakan pertemuan secara kerajaan dengan kerajaan (G2G), antara lain bagi membincangkan cara menstabilkan bekalan beras dalam negara di pejabat KPKM, esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.