
Hakim Sabariah Othman melepas dan membebaskan Bok Siew Mun dan Saiful Hamiruzzaman Mohd Hazir, tanpa perlu dipanggil membela diri selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.
Keputusan itu dibuat di akhir kes pendakwaan.
Ketika dihubungi, peguam bela Fahmi Abd Moin yang mewakili kedua-dua tertuduh, berkata mahkamah mendapati pendakwaan hanya membuktikan satu elemen sahaja berkaitan pecah amanah jenayah, di mana Siew Mun adalah seorang ejen (bekas pengerusi MCPF).
Menurutnya, hakim memutuskan tiga elemen utama lain gagal dibuktikan oleh pendakwaan iaitu iaitu sama ada tertuduh pertama mempunyai kawalan dan penguasaan terhadap wang RM195,000 tersebut.
Selain itu mahkamah juga mendapati pendakwaan gagal membuktikan bahawa Siew Mun mempunyai niat curang untuk melakukan pecah amanah jenayah ketika meluluskan pengeluaran wang berkenaan kerana semua proses dibuat dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa MCPK KL.
“Mahkamah mendapati elemen subahat juga gagal dibuktikan iaitu sama ada tertuduh kedua (Saiful Hamiruzzaman) ada niat bersama, membantu atau berkonspirasi dalam pecah amanah jenayah bersama tertuduh pertama.
“Mahkamah turut mendapati terdapat beberapa keterangan saksi pendakwaan yang bercanggah dan mempunyai versi berbeza sekali gus menjadikan kes pendakwaan lemah dan gagal dibuktikan,” katanya menurut Berita Harian.
Sebelum ini, kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Chooi Yi.
Pada 23 Mac 2021, Siew Mun, 52, mengaku tidak bersalah sebagai pengerusi MCPF KL, melakukan pecah amanah terhadap terhadap dana yayasan berkenaan dengan mengarahkan bayaran melalui cek Bank Affin berjumlah RM195,000 kepada syarikat Trio Green Hornet Sdn Bhd.
Saiful Hamiruzzaman, 49, pula dituduh bersubahat dengan Siew Mun untuk melakukan kesalahan sama dengan mengemukakan invois milik syarikat Trio Green Hornet dan menandatangani baucar bayaran yayasan berkenaan.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Maybank Berhad, cawangan Bandar Sri Permaisuri, antara 26 Feb hingga 31 Mei 2019 dan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.