
Merujuk kaji selidik pada 2021, TalentCorp mendedahkan 92% diaspora Malaysia menyatakan hasrat kembali ke tanah air untuk menyumbang, namun kurang mendapat platform melakukan sedemikian.
“Tambahan lagi, 90% majikan dalam kaji selidik menyatakan mereka sedia menggaji rakyat Malaysia berkemahiran berpangkalan di luar negara,” katanya dalam kenyataan.
Berdasarkan maklum balas, TalentCorp berkata antara program diperkenal adalah inisiatif “Malaysia@Heart” (MyHeart) sebagai persediaan bagi kepulangan rakyat Malaysia dengan pilihan pekerjaan selain peluang rangkaian.
Agensi itu berkata, MyHeart telah berjaya menghubungkan diaspora profesional dengan ahli akademik dan bakat di Malaysia, sekali gus memupuk kerjasama bernilai tinggi.
“Bagi ahli diaspora yang berhasrat pulang ke Malaysia, MyHeart sehingga kini sudah bekerjasama dengan 45 syarikat, menawarkan potensi peluang pekerjaan di Malaysia melalui khidmat Kemudahan Pekerjaan.
“Syarikat itu termasuk peneraju industri seperti Petronas, Intel, Bank Negara Malaysia, PwC, KPMG dan banyak lagi,” menurut kenyataan berkenaan.
TalentCorp berkata, MyHeart juga menyediakan bantuan pendidikan dan insentif kepada golongan itu yang kembali.
Bercakap kepada diaspora Malaysia di New York, Jumaat lalu, Anwar berkata kerajaan sedang melihat kaedah membawa balik lebih ramai rakyat Malaysia berkemahiran untuk menyumbang kepada negara demi menangani isu penghijrahan bakat.
Terdahulu, dilaporkan 1.86 juta rakyat Malaysia berhijrah ke luar negara, lebih tinggi berbanding purata global.
Menuju ke hadapan, TalentCorp berkata agensi itu mahu melipatgandakan pendekatan kemudahan tambahan, selain mengakui keperluan kerjasama semua pihak di negara ini demi memastikan kejayaannya.
“Usaha terangkum ini perlu meliputi kementerian dan agensi utama, industri, majikan, ahli akademik, dan NGO, terutama persatuan rakyat Malaysia di luar negara,” katanya.
Justeru, TalentCorp menyeru diaspora rakyat Malaysia secara aktif berhubungan bersama MyHeart dengan mendaftar sebagai ahli komuniti global.