
Ismail berkata peranan itu tidak perlu memandangkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri tidak pun mengehadkan usahanya hanya untuk negeri-negeri yang sealiran dengan Putrajaya.
“Bagi kerajaan persekutuan apa sahaja yang masuk untuk pelaburan itulah manfaatnya kepada kita seluruh negara.
“Jadi, kerajaan persekutuan tak ada kata ‘Kelantan tak boleh’ sebab dia pembangkang. Kita tak pernah buat begitu dari segi menarik pelaburan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu.

Ismail berkata kerajaan persekutuan bawah pentadbiran yang diterajui Barisan Nasional juga tidak mengabaikan Selangor dan Pulau Pinang dalam hal berkaitan FDI, meskipun dua negeri itu ditadbir oleh gabungan pembangkang selama beberapa penggal.
“Sebenarnya kalau tak ada SG4 pun, kerajaan persekutuan tak pernah melupakan negeri (pembangkang). Tak perlu pun ada,” katanya merujuk negeri dipimpin PAS di Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis.
Baru-baru ini, menteri besar empat negeri bersetuju membentuk “State Government 4” atau SG4 dengan Mahathir memainkan peranan sebagai penasihat tidak rasmi, berkait urusan pentadbiran dan hubungan bersama pelabur asing.
PRK Pelangai
Mengulas dakwaan bahawa terdapat bantahan dalam kalangan Pemuda Umno Pahang terhadap pencalonan Amizar Abu Adam sebagai calon BN bagi PRK Pelangai, Ismail menyeru ahli menyokong calon yang diketengahkan bagi mempertahankan kerusi itu, demi parti.
Beliau mengingatkan ahli bahawa kekalahan di Pelangai akan menjejaskan imej Umno.
Semalam, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menafikan ada sebarang bantahan daripada ahli sayap itu terhadap pencalonan Amizar.
Ia susulan tindakan bekas ahli Umno, Haslihelmy DM Zulhasli bertanding sebagai calon bebas.
Presiden Zahid Hamidi pada Sabtu mengumumkan keahlian Haslihelmy gugur automatik, kerana bertanding menentang BN.
Mengulas isu lain, Ismail menggesa Umno melakukan bedah siasat berhubung bagaimana mendapatkan kembali sokongan orang Melayu, mengambil kira trend undi kepada Perikatan Nasional.
Penganalisis politik, Azmin Hassan dari Akademi Nusantara sebelum ini dilaporkan berkata PN meraih tambahan 9,000 undi pada PRK Parlimen Pulai awal bulan ini berbanding pada PRU15, walaupun BN-Pakatan Harapan berjaya mempertahankan kerusi itu.