
Timbalan Menterinya, Chan Foong Hin, berkata musim tuaian padi di jelapang padi Kedah boleh menjadi pemangkin kepada usaha dan intervensi kerajaan menampung kekurangan bekalan beras menerusi Program Khas Beras Putih Tempatan (BPT) yang giat dilaksanakan.
“Selepas beberapa langkah intervensi dilaksanakan, termasuk Program Khas BPT, kekurangan beras di pasaran domestik dijangka dapat dipulihkan ekoran musim menuai baru bermula di Kedah,” katanya ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 peringkat kementeriannya di Dewan Negara.
Sebelum ini, Menteri KPKM, Mohamad Sabu dilapor berkata bekalan beras tempatan dijangka kembali stabil dalam sebulan, susulan pelbagai langkah intervensi dan pemantauan berterusan kerajaan, termasuk pelaksanaan Program Khas BPT.
Program Khas BPT dalam dua fasa bermula 8 Sept lalu menyaksikan pengilang diminta meningkatkan 20% bekalan beras tempatan di pasaran bagi penyelesaian jangka pendek bekalan makanan ruji itu.
Dalam perkembangan lain, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni ketika menggulung perbahasan memaklumkan 175 atau 40% daripada 436 klinik dirancang untuk dinaik taraf di seluruh negara tahun ini, berjaya disiapkan setakat Khamis lalu.
Projek naik taraf baki 261 klinik daif dijangka dapat diselesaikan tahun ini juga, katanya.
Persidangan disambung esok.