Motac gesa NGO, persatuan setempat kerjasama promosi budaya negara

Motac gesa NGO, persatuan setempat kerjasama promosi budaya negara

Pihak ketiga, yang mempunyai kepakaran dan pemahaman tepat mengenai sesuatu program budaya, dapat menyampaikan mesejnya dengan lebih mudah dan berkesan.

Khairul Firdaus Akhbar Khan berkata, Motac memberi ruang seluas-luasnya kepada mana-mana persatuan untuk mengadakan program kebudayaan. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Pihak ketiga seperti badan bukan kerajaan (NGO), persatuan setempat dan swasta digesa untuk bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dalam usaha mempromosikan kepelbagaian kebudayaan dalam negara.

Timbalan menteri, Khairul Firdaus Akhbar Khan berkata, usaha itu penting kerana pihak ketiga mempunyai kepakaran dan pemahaman tepat mengenai sesuatu program berunsurkan kebudayaan sekali gus membolehkan penyampaian mesejnya kepada orang awam termasuk pelancong luar lebih mudah dan berkesan.

“Kementerian memberikan ruang seluas-luasnya kepada mana-mana persatuan, NGO dan swasta untuk mengadakan program kebudayaan yang bukan sahaja memberikan kesedaran kepada rakyat setempat, tapi juga kepada pelancong luar mengenai keunikan dan perbezaan budaya kita.

“Apabila perkara ini dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya, barulah industri kita dapat dirancakkan dengan cara yang kita mahukan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian perayaan Pesta Tanglung di Jalan Petaling, malam tadi.

Pesta Tanglung atau perayaan Kuih Bulan itu dianjurkan bersama Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur (KLCAH) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) dengan penglibatan komuniti setempat.

Turut diraikan pada majlis itu ibu tunggal dan anak yatim daripada pelbagai kaum.

Pesta itu merupakan perayaan terpenting bagi masyarakat Cina selain Tahun Baharu Cina, yang membawa makna “perjumpaan semula”. Ia disambut pada hari ke-15 bulan kelapan dalam kalendar masyarakat Cina dan pada tahun ini, ia jatuh pada 29 Sept.

Dalam perkembangan lain, Khairul Firdaus berkata, Motac tidak bercadang untuk memperkenalkan sebarang bentuk percukaian baharu kepada pelancong luar yang melawat tempat kebudayaan dalam negara.

“Yang ada berkaitan cukai pelancongan sekarang ialah bilik-bilik hotel, itu sahaja, tiada perancangan untuk mewujudkan percukaian baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan pihak berwajib Indonesia yang mahu mengenakan cukai ke atas pelancong yang memasuki Bali bermula tahun depan bagi mengekalkan budayanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.