Loh fokus pengislaman unilateral anak, batal cabar pencelahan MAIPs

Loh fokus pengislaman unilateral anak, batal cabar pencelahan MAIPs

Loh Siew Hong tumpu mengetepikan penghakiman Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan pengislaman unilateral anaknya sebagai sah.

Rayuan Loh Siew Hong terhadap keputusan Mahkamah Tinggi memutuskan pengislaman unilateral tiga anaknya sebagai sah akan didengar Mahkamah Rayuan pada 19 Okt.
PETALING JAYA:
Ibu tunggal Loh Siew Hong membatalkan hasratnya mencabar keputusan mahkamah sebelum ini yang membenarkan Majlis Agama dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mencelah dalam permohonan berkaitan pengislaman anaknya.

Peguamnya A Srimurugan berkata, notis pemberhentian difailkan di mahkamah hari ini, dan peguam MAIPs juga dimaklumkan.

Permohonan Loh bagi izin merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Feb lalu sebelum ini dijadualkan didengar di Mahkamah Persekutuan, esok.

“Prosiding memohon izin itu telah dibatalkan,” katanya.

Srimurugan berkata, Loh memutuskan menarik balik permohonan untuk izin itu selepas dinasihatkan supaya memberi tumpuan kepada rayuannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi awal tahun ini, yang mengisytiharkan pengislaman tiga anaknya secara unilateral sebagai sah. Mahkamah Rayuan menetapkan 19 Okt untuk prosiding itu.

Mahkamah Tinggi pada 31 Mac 2020 memberi hak penjagaan penuh tiga anak kepada Loh.

Bagaimanapun, pada 6 Julai 2020 tiga anaknya itu dibawa bekas suaminya Muhammad Nagahswaran Muniandy ke Perlis, di mana mereka diislamkan tanpa izin Loh.

Perceraian Loh dan Nagahswaran diselesaikan pada 23 Sept 2021.

Pada 21 Feb tahun lalu, tiga anaknya yang diletakkan bawah penjagaan pendakwah Nazirah Nanthakumari Abdullah, diserahkan kepada Loh selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpus dikemukakannya.

Pada 11 Mei lalu, Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh menolak permohonan Loh untuk membatalkan pengislaman anaknya itu.

Sementara itu, peguam Gunamalar Joorindanjn yang mewakili Loh berkata permohonan variasi akan didengar Hakim Mahkamah Tinggi Hayatul Akmal Abdul Aziz pada Rabu.

“Kami membantah kerana tiada perubahan material dalam keadaan ini untuk perintah variasi. Kami juga mahu menantikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 19 Okt,” katanya.

Pihak berkuasa agama Perlis memohon variasi terhadap perintah hak penjagaan 31 Mac 2020, untuk memberikan pendidikan agama dan bantuan kewangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.