
Mengikut keputusan akhir, Ahli Parlimen Ayer Hitam itu memperoleh 569 undi menewaskan pencabarnya iaitu bekas ahli jawatankuasa Pusat MCA Tan Chong Seng yang mendapat 11 undi.
Wee pertama kali memenangi jawatan presiden pada pemilihan parti 2018 mengalahkan dua pesaingnya ketika itu, Gan Ping Siew dan Ngoo Teck Keong.
Mengulas kemenangan itu, Wee menyifatkan ia adalah kepercayaan yang diberi akar umbi kepada beliau.
“Terima kasih pada para perwakilan MCA yang telah memberi mandat besar kepada saya untuk menerajui kepimpinan parti buat penggal kedua.
“Sesungguhnya ini adalah satu tanggungjawab yang perlu digalas dengan lebih komited dan juga saya berjanji akan melakukan terbaik untuk membantu parti meningkatkan reputasi MCA,” katanya kepada media di Wisma MCA.
Pada pemilihan kali ini, Mah Hang Soon mengekalkan jawatannya sebagai timbalan presiden, selepas menang tanpa bertanding.
Dua naib presiden sebelum ini, Lim Ban Hong dan Tan Teik Chong berjaya mempertahankan jawatan mereka.
Manakala dua muka baharu bagi jawatan naib presiden dimenangi oleh Wee Jeck Seng dan Low Ah Keong.
Bekas timbalan menteri belia dan sukan Ti Lian Ker gagal mempertahankan jawatan naib presiden apabila hanya mendapat 132 undi.
Proses pemilihan parti itu dibuat mengikut Perkara 167 Perlembagaan MCA, yang memperuntukkan bahawa pemilihan perlu diadakan dalam tempoh enam bulan, selepas pilihan raya umum.
Pengundian pemilihan parti diadakan serentak di semua bahagian MCA dari 2 petang hingga 7 malam.