Pemuda Umno nafi protes calon BN di Pelangai

Pemuda Umno nafi protes calon BN di Pelangai

Ketuanya Dr Akmal Saleh berkata Pemuda Umno Pahang dan Bentong menghormati kebijaksanaan pucuk pimpinan parti dalam menentukan strategi terbaik untuk menang PRK itu.

Dr Akmal Saleh menafikan terdapat protes daripada Pemuda Umno terhadap calon BN Amizar Abu Adam bagi PRK DUN Pelangai. (Gambar Bernama)
BENTONG:
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menafikan berlaku protes dalam kalangan ahli sayap parti itu terhadap pemilihan Amizar Abu Adam sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK DUN Pelangai.

Beliau berkata Pemuda Umno Pahang dan Bentong taat serta menghormati kebijaksanaan pucuk pimpinan parti dalam menentukan strategi terbaik bagi memenangi pilihan raya itu.

“Tidak ada langsung protes daripada Pemuda Umno…tidak ada isu pun untuk kita protes calon,” katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan media mengenai tindakan bekas ahli Pemuda Umno Bahagian Bentong, Haslihelmy DM Zulhasli, yang bertanding sebagai calon Bebas pada PRK DUN Pelangai, sebagai tanda protes terhadap keputusan BN mengetengahkan Amizar sebagai calon.

Semalam, Presiden Umno Zahid Hamidi, berkata keahlian Haslihelmy sebagai ahli Pemuda Umno Bahagian Bentong gugur secara automatik selepas bertanding sebagai calon Bebas.

PRK DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Amizar, Kasim Samat daripada Perikatan Nasional (PN) dan Haslihelmy yang menggunakan simbol kereta.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 7 Okt ini manakala 3 Okt sebagai tarikh pengundian awal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.