
Timbalan Pengarah Operasi APMM Kelantan Khairun Dalilah Baharun berkata semua tangkapan dilakukan KD Amanah, yang membuat rondaan dalam Op Damai, Op Khas Kuda Laut, Op Naga Barat dan Op Tiris, pada kedudukan 125 hingga 150 batu nautika dari muara Tok Bali.
Beliau berkata bot pertama dan kedua berjaya ditahan lebih kurang pukul 8.18 pagi dan 9.01 pagi, manakala dua buah bot lagi ditahan ketika kapal penguat kuasa dalam perjalanan mengiringi tangkapan pertama dan kedua ke jeti tahanan, sekitar pukul 2.32 petang dan 2.50 petang.
“Dalam kejadian ini, semua bot yang dinaiki nelayan terbabit cuba melarikan diri ke sempadan perairan negara, ketika kapal penguat kuasa memberi arahan untuk menghentikan bot.
“Kapal penguat kuasa seterusnya bertindak memintas bot untuk menghentikan bot berkenaan dan mendapati semua nelayan yang ditahan merupakan warga Vietnam berusia antara 16 hingga 61 tahun,” katanya pada sidang media di Pejabat APMM Tok Bali.
Khairun berkata hasil pemeriksaan pada semua bot tersebut menemukan 6,000kg hasil tangkapan yang disyaki hasil kegiatan perikanan secara haram dan selain merampas empat buah bot, peralatan menangkap ikan, peralatan navigasi dan komunikasi, serta bekalan diesel dengan anggaran nilai RM3.86 juta.
“Semua nelayan terbabit akan disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1963, kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, manakala empat tekong akan disiasat mengikut Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985,” katanya.
Khairun berkata untuk rekod tahun ini sebanyak 17 buah bot nelayan Vietnam bersama 137 tekong dan nelayan telah ditahan APMM Kelantan, dengan jumlah rampasan keseluruhan dianggarkan RM18.56 juta.