Bot pukat tunda Apollo musnah hidupan marin di pesisir pantai

Bot pukat tunda Apollo musnah hidupan marin di pesisir pantai

Kehadiran mereka turut menjejaskan pendapatan nelayan tradisi.

Bot-bot Apollo berlabuh di pesisir pantai Perak. (Gambar Facebook Jabatan Perikanan)
GEORGE TOWN:
Bot-bot pukat tunda Apollo menjadi ancaman terhadap nelayan pesisir pantai di Pulau Pinang dengan beroperasi dengan kelajuan tinggi pada awal pagi dan mengaut ikan kecil sekelip mata.

Ini bukan sahaja menjejaskan perikanan, malah dengan kelajuan tinggi bot-bot ini mencipta ombak gergasi yang mengakibatkan hakisan besar di sepanjang kawasan pesisir di kedua-dua pulau dan Seberang Perai.

Bot-bot ini digelar Apollo, seperti program angkasa Amerika Syarikat, kerana jaring yang dipasang pada bot yang bergerak secara berpasangan ini berbentuk roket.

Pemberat di bahagian bawah jaring membolehkannya mengaut sebanyak boleh ikan dan di perairan yang cetek ini akan “membersihkan” dasar laut daripada semua kehidupan, terutamanya ikan berkumpulan.

Ratusan bot Apollo mempunyai lesen daripada Jabatan Perikanan untuk beroperasi di perairan Tanjung Piandang and Kuala Kurau, dua bandar perikanan pesisir di utara Perak yang terletak tidak jauh dari perairan Pulau Pinang.

Bot-bot ini, yang turut menjejaskan perairan Perak, bergerak menghala ke utara ke arah Pulau Pinang untuk mendapatkan lebih hasil dan tindakan ini menyebabkan tangkapan ikan di Pulau Pinang berkurangan secara drastik.

Bot-bot yang ditahan APMM beberapa tahun lalu (Gambar Facebook APMM)

Menurut beberapa nelayan, pendapatan mereka yang sebelum ini lebih RM100 sehari kini hanya tinggal RM10 ke RM20 seperti yang didapati oleh Sahabat Alam Malaysia dalam kajian pada 2019.

Sepanjang tahun lalu, sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP), kumpulan alam sekitar mengesan bot-bot ini beroperasi dekat dengan daratan di mana nelayan tradisi beroperasi dan ini menjejaskan pendapatan mereka.

Seorang nelayan di Batu Kawan memberitahu FMT, kebanyakan nelayan takut mengadu kerana ada antara mereka dibayar operator untuk mengawasi pihak berkuasa, selain diberi amaran untuk tidak mengadu.

Menurut seorang penyelidik, Zulkifli Yusuf, bot-bot ini mula beroperasi pada awal pagi dan mengaut sebilangan besar daripada ikan berkumpulan yang dijumpai di pesisir serta udang, ikan bilis, dan lain-lain. Hidupan laut ini tidak diberi peluang untuk membiak pada kadar yang dapat memastikan bekalan cukup.

“Melalui apa yang kami dapat lihat kebanyakan kawasan perikanan di Seberang Perai sudah musnah,” katanya.

“Ini kes pencerobohan yang jelas kerana bot-bot ini memasuki kawasan lima batu nautika yang dikhaskan untuk nelayan pesisir tradisi.

“Bukan sahaja ikan habis, malah bot-bot mereka rosak akibat ombak gergasi.”

Zulkifli, seorang pegawai kawasan luar bandar dengan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) harus meningkatkan pemantauannya.

Katanya, APMM telah melakukan banyak serbuan tetapi pengemudi bot-bot ini terus bertindak tanpa dihukum.

Ketua Persatuan Nelayan Pulau Pinang Mahadi Md Rodzi berkata, pengemudi bot-bot Apollo beroperasi pada waktu air pasang yang tepat.

Dakwanya, kebanyakan mereka dilindungi samseng.

“Satu-satunya cara untuk mengatasi masalah ini adalah dengan mendapatkan penternak ikan di selatan Seberang Perai untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai kedatangan (bot-bot Apollo) dari Perak,” katanya.

Bekas pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Faiz Fadzil memberitahu FMT, kerajaan terdahulu telah meminta dana tambahan bagi APMM untuk meningkatkan pengawasan di perairan.

Katanya, kapal-kapal tambahan akan membantu meningkatkan penguatkuasaan dan mencegah kehadiran bot-bot Apollo.

Che Ani Mat Zain, yang memimpin Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia, berkata, langkah ideal adalah melarang semua bot pukat tunda beroperasi dekat dengan kawasan pesisir.

Kajian Jabatan Perikanan pada 2016 menunjukkan bahawa bekalan ikan di Semenanjung berada pada tahap kritikal, hanya tinggal 4.4%.

Che Ani berkata, sejuta tan ikan karp dikaut bot pukat tunda antara 2016 dan 2019.

Jurucakap Jabatan Perikanan memberitahu FMT, bot-bot Apollo hanya dibenarkan beroperasi antara lima hingga 12 batu nautika di luar pesisir Tanjung Piandang dan Kuala Kurau.

Bagaimanapun katanya, pencerobohan mereka ke dalam kawasan yang berjarak kurang lima batu nautika dari pantai berleluasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.