Saingan 3 penjuru di PRK Pelangai

Saingan 3 penjuru di PRK Pelangai

Tiga calon dari Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan seorang bebas diumumkan bakal bertanding di PRK itu.

PRK DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara (dari kiri) calon Barisan Nasional Amizar Abu Adam, Perikatan Nasional Kasim Samat dan calon bebas Haslihelmy DM Zulhasli. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
PRK DUN Pelangai di Pahang menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan seorang calon bebas.

Ahli Jawatankuasa Umno Bentong Amizar Abu Adam, 50, akan mewakili BN dan Naib Yang Dipertua PAS Bentong Kasim Samat, 62, mewakili PN.

Manakala, Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang Haslihelmy DM Zulhasli, 36, bertanding sebagai calon bebas.

Nama semua calon yang layak bertanding itu diumumkan pegawai pengurus pilihan raya DUN Pelangai, Mohammad Shahid Ismail selepas proses penamaan calon ditutup pada jam 10 pagi.

Terdahulu, Shahid mengumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima tiga borang pencalonan dari calon berkenaan dan tiada yang ditolak.

SPR sebelum ini menetapkan pengundian awal pada 3 Oktober manakala 7 Oktober sebagai hari pengundian.

Kempen PRK itu ditetapkan selama 14 hari bermula hari ini hingga detik 11.59 malam, 6 Oktober depan.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya Johari Harun, 53, akibat nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.

Pada PRU15, Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan Kasim, calon Pakatan Harapan Ahmed Wafiuddin Shamsuri dan calon Pejuang Isa Ahmad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.