
Ahli Parlimen Jerantut Khairil Nizam Khirudin daripada PAS, berkata sistem sedia ada perlu dikekalkan.
Beliau tidak bersetuju dengan cadangan bekas timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Wan Ahmad Wan Omar, bahawa parti yang menang kerusi pada pilihan raya lalu memilih penggantinya.
Wan Ahmad berkata, kerajaan dan parti politik mampu menjimatkan wang jika PRK dimansuhkan.

Bagaimanapun, Khairil berkata PRK membolehkan pengundi diberi peluang sekali lagi membuat pilihan mereka jika tidak berpuas hati dengan prestasi Ahli Parlimen dan Adun sebelum ini.
“Tanpa peluang ini, pengundi perlu menerima sahaja rasa kecewa jika parti itu tidak mampu menunaikan janjinya, dan mereka kena menunggu lima tahun lagi untuk membuat keputusan baru,” katanya kepada FMT.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan, daripada Bersatu juga senada apabila menyatakan suara rakyat tersekat andai parti penyandang secara unilateral memutuskan pengganti kerusi berlaku kekosongan.

Katanya, pemerkasaan pengundi melalui PRK adalah lebih baik berbanding membenarkan parti menentukan pengganti secara bersendirian.
“Jika PRK tidak diadakan selepas berlaku kekosongan kerusi, justeru hanya beberapa individu berkuasa sahaja dalam parti akan mempunyai kuasa menentukan pengganti.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Tan Kar Hing, berkata sistem pilihan raya “first-past-the-post” digunakan di negara ini tidak membenarkan cadangan sedemikian diperkenal.
“Sistem kita melibatkan parti dan calon. Jika kita ganti dengan beri tanggungjawab penuh kepada parti, ia tidak sejajar dengan semangat sistem pilihan raya kita,” katanya.