
Muhammad Azhari @ Azari Abd Rahman, 55, didakwa melakukan pengintaian terhadap Ainaa Kamalia Jamaludin, 31, dengan menghantar mesej melalui media sosial dan berulang kali ke tempat kerja wanita itu di Awesome TV, pada 4 petang 17 Sept lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah, Azhari dalam kandang tertuduh dilihat beberapa kali menyatakan: “Saya nak jumpa dia (saja).”
Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim berkata: “Kamu ada peguam, biar peguam kamu yang cakap” dan tertuduh dilihat berdiam diri selepas ditegur majistret.
Pegawai Pendakwa Muhamad Sapri Yaakub menawarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Mohamad Zaidi Othman mewakili tertuduh memaklumkan ahli keluarganya tidak berhasrat menjamin dan memohon tertuduh dihantar ke hospital memeriksa status kesihatan mentalnya.
“Saya ingin membuat permohonan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah agar anak guam dihantar ke hospital berhubung kesihatan mentalnya.
“Sebelum ini, dia pernah didaftarkan di Jabatan Psikiatri Hospital Kuala Lumpur (HKL), tetapi dia tidak pergi mendapatkan rawatan. Mohon satu tarikh singkat untuk saya dapatkan rekod daripada HKL,” kata Zaidi.
Sapri tidak membantah permohonan itu.
Atiqah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 6 Okt ini untuk mendapatkan rekod kesihatan mental tertuduh.
Pada 29 Mac lepas, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 dengan seksyen baharu 507A dimasukkan dalam Kanun Keseksaan bagi kesalahan menghendap.