AS sekutu tradisional, kekal pelabur utama Malaysia, kata PM

AS sekutu tradisional, kekal pelabur utama Malaysia, kata PM

Malaysia sebagai sebuah negara merdeka mengalu-alukan perdagangan dan pelaburan daripada semua pihak, kata Anwar Ibrahim.

PM Anwar Ibrahim berkata, Malaysia memperoleh manfaat daripada pelaburan besar oleh syarikat AS seperti Amazon Web Services, Boeing dan Intel. (Gambar Bernama)
NEW YORK:
Meskipun wujud persaingan antara Amerika Syarikat (AS) dengan China selain berlaku ketegangan di Laut China Selatan dan peningkatan ketara pelaburan China di Malaysia sejak kebelakangan ini namun, AS kekal menjadi pelabur utama negara, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Malaysia ialah sebuah negara merdeka justeru, mengalu-alukan perdagangan dan pelaburan daripada semua pihak.

Pentadbiran AS dahulu dan sekarang sentiasa menyokong dan menjadi sekutu tradisional, katanya.

“Kami juga mempunyai hubungan yang sangat erat dengan China. Saya berasa selesa apabila bertemu Presiden Xi Jinping, dan telah bertemu tiga kali dengan Perdana Menteri Li Qiang,” katanya ketika sesi soal jawab pada acara Invest Malaysia New York semalam.

Terdahulu, beliau menyampaikan ucap tama Regaining Malaysia’s Lead in Asia (Mengembalikan Penerajuan Malaysia di Asia) pada acara anjuran Bursa Malaysia itu.

Anwar kini berada di sini bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78.

Lebih 100 wakil daripada syarikat utama AS dan pengurus dana menghadiri acara Invest Malaysia itu.

“Bagi saya situasi ini meletakkan Malaysia pada kedudukan yang unik untuk memanfaatkan dan meraih faedah daripada hubungan kami dengan AS dan China,” katanya.

Anwar, yang juga menteri kewangan, berkata negara memperoleh manfaat daripada pelaburan besar oleh syarikat AS seperti Amazon Web Services, Boeing dan Intel yang semuanya berkembang secara besar-besaran di Malaysia.

Malaysia, kekal sebagai antara negara yang mempunyai infrastruktur terbaik di rantau ini, dan sentiasa melaksanakan langkah untuk membantu pelabur yang bimbang mengenai isu seperti aspek mudah menjalankan perniagaan, prosedur kewangan dan rasuah, katanya.

Terdahulu, Anwar mengadakan pertemuan dan interaksi bersama 15 syarikat terkemuka AS yang tersenarai dalam Fortune 500, termasuk Airbnb, Amazon, Amazon Web Services, Boeing, ConocoPhilips dan Kimberly-Clark di Harvard Club.

“Kesempatan ini digunakan sepenuhnya untuk berkongsi Kerangka Ekonomi Madani yang disokong oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara serta Kajian Separuh Penggal RMK-12 (Rancangan Malaysia Ke-12) yang akan menjadi panduan dalam mencapai matlamat pembangunan negara,” katanya.

Tahun lepas, AS menyumbang kepada aliran masuk bersih tertinggi ke Malaysia, dengan nilai berjumlah kira-kira RM37.8 bilion.

Pada Ogos lepas, Duta Besar AS di Malaysia Brian McFeeters (berkhidmat di Malaysia sehingga 24 Ogos 2023) berkata, syarikat AS telah membuat komitmen pelaburan bernilai RM100 bilion dalam pelbagai sektor di Malaysia sejak 18 bulan lepas.

Beliau berkata, itu merupakan pelaburan besar dalam bidang yang AS mahu memperkukuh kehadirannya, iaitu sektor elektronik dan semikonduktor, serta segmen pusat data yang merupakan bidang pertumbuhan besar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.