Turki setuju MAHB terus kendali Lapangan Terbang Sabiha di Istanbul, kata PM

Turki setuju MAHB terus kendali Lapangan Terbang Sabiha di Istanbul, kata PM

Lapangan terbang antarabangsa itu merupakan pintu masuk keenam paling sibuk di Eropah.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan setuju Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kekal kendali Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen di Istanbul. (Gambar Bernama)
NEW YORK:
Turki telah bersetuju supaya Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) terus mengendalikan Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen di Istanbul.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata persetujuan itu disampaikan sendiri oleh Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada pertemuan mereka di sini, hari ini.

“Beliau (Presiden) setuju MAHB teruskan (kendali) Lapangan Terbang Sabiha di Istanbul. Mereka puas hati dengan kejayaan MAHB pada peringkat pertama, sebab itu mahu sambungan dengan ‘runway’ (landasan) yang lebih panjang,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat dua hala dengan Erdogan.

Anwar yang berada di New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-78, berkata Turki merasakan ada keupayaan untuk operasi lapangan terbang itu dikendalikan oleh syarikat yang sama, iaitu MAHB.

Walaupun persetujuan meneruskan operasi oleh MAHB telah diumumkan, Anwar berkata ia akan melalui proses biasa oleh kementerian yang berkenaan.

“Ini satu sokongan yang cukup besar dan keyakinan kepada syarikat Malaysia untuk membangun dan menguruskan Lapangan Terbang Sabiha,” tambahnya.

Dimiliki sepenuhnya oleh MAHB, lapangan terbang tersebut merupakan pintu masuk keenam paling sibuk di Eropah, dengan jumlah penumpang mencecah 25 juta pada 2021, yang merupakan 70% daripada angka prapandemik Covid-19.

Pada pertemuan itu yang turut dihadiri Jemaah Menteri kedua-dua pihak, Anwar berkata mereka turut membincangkan usaha untuk meningkatkan kerjasama dua hala dari segi pelaburan dan perdagangan.

Malaysia adalah rakan dagangan terbesar Turki di Asean dengan jumlah perdagangan sebanyak USD4.7 bilion (USD1=RM4.51) pada 2022, pertumbuhan 35% dari 2021.

Angka eksport Malaysia ke Turki pada 2022 mencecah paras RM17.39 bilion, yang sebahagian besarnya terdiri daripada minyak sawit, produk pertanian berasaskan minyak sawit, pembuatan logam, tekstil, pakaian, kasut, produk elektrik dan elektronik serta produk perkilangan berasaskan minyak sawit.

Jumlah import pada 2022 direkodkan sebanyak RM2.86 bilion yang merangkumi produk petroleum, barang kemas, produk besi, dan keluli, kimia dan produk kimia, tekstil, pakaian serta kasut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.