Malaysia sedia beli peralatan tentera daripada Turki

Malaysia sedia beli peralatan tentera daripada Turki

Anwar Ibrahim berkata, beliau menyerahkan kepada Kementerian Pertahanan untuk berunding dengan Kementerian Kewangan dan kerajaan terbabit berhubung perolehan itu.

PM Anwar Ibrahim kini berada di New York bagi menghadiri UNGA di ibu pejabat PBB. (Gambar Facebook)
NEW YORK:
Malaysia telah menyatakan kesediaannya untuk membeli peralatan ketenteraan daripada Turki, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, sebelum ini ada peralatan ketenteraan yang telah dibeli daripada Korea Selatan, dan menurutnya peralatan sesuai yang hendak dibeli dari Turki ini akan diputuskan oleh Majlis Angkatan Tentera Malaysia.

“Kita mungkin lihat dron dan helikopter … lihat pengkhususan dan kepakaran Turki. Namun saya serahkan pada pihak tentera, mana yang terbaik,” kata Anwar selepas pertemuan dua hala dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan di Turkish House.

Katanya, terserah kepada Kementerian Pertahanan untuk berunding dengan Kementerian Kewangan dan kerajaan terbabit dalam pembelian peralatan ketenteraan itu.

“Dasar saya adalah, seperti yang saya katakan kepada Ketua Turus Bersama (Joint Chief of Staff), kita tidak mahu sebarang campur tangan mengenai apa yang perlu diperoleh, apa yang perlu dibeli,” katanya.

Pada masa sama, Anwar berkata, Erdogan juga telah menyatakan persetujuan untuk melawat Malaysia pada Disember depan.

Anwar kini berada di New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.