Lebih 5,000 RMR dibina tahun ini, kata menteri

Lebih 5,000 RMR dibina tahun ini, kata menteri

Nga Kor Ming berkata setakat ini sebanyak 4,250 unit rumah dibina melepasi sasaran ditetapkan untuk tahun ini iaitu 3,410 unit.

Nga Kor Ming berkata atas keprihatinan kerajaan perpaduan untuk menawarkan rumah mampu milik, ada peruntukan tambahan yang besar untuk skim itu.
BENTONG:
Sebanyak 5,045 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) akan dibina tahun ini dengan peruntukan tambahan sebanyak RM123 juta bagi tujuan berkenaan yang diluluskan pada Ogos lalu.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata setakat ini sebanyak 4,250 unit rumah dibina Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB), melepasi sasaran ditetapkan untuk tahun ini iaitu 3,410 unit.

“Atas keprihatinan kerajaan perpaduan dan semangat Malaysia Madani untuk menawarkan rumah mampu milik atau RMR, ada peruntukan tambahan yang besar untuk skim ini.

“Mengikut belanjawan asal, kerajaan memperuntukkan RM358 juta. Sekarang ada tambahan suntikan dana RM123 juta, menjadikan jumlahnya RM481 juta untuk seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan sesi penyerahan kunci RMR yang siap dibina kepada tiga penerima di Kampung Chemomoi.

Nga berkata, berdasarkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), beberapa aspek mengenai tata kelola projek RMR akan ditambah baik bagi memastikan syarikat terlibat menepati sasaran ditetapkan tanpa sebarang ketirisan dan penyelewengan.

Sementara itu, Nga yang juga naib pengerusi DAP menafikan dakwaan kerajaan menggunakan pendekatan “barbaric politics” dengan tidak memperuntukkan dana bagi pembangunan di kawasan Parlimen pembangkang.

Beliau berkata, dakwaan tersebut tidak benar kerana peruntukan disalurkan terus kepada pihak berkaitan seperti pejabat daerah dan tanah serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.