
Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sutekno Ahmad Belon berkata, trend peningkatan itu dilihat semakin merisaukan, dengan lebih separuh jumlah tersebut terdiri daripada golongan belia.
“Tahun lepas, lebih 137,000 penagih dadah direkodkan dan 65% daripadanya melibatkan golongan belia dan remaja,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Media AADK malam tadi.
Katanya, berdasarkan trend penyalahgunaan bahan terlarang itu dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, penggunaan dadah sintetik dilihat lebih tinggi berbanding dadah organik.
Dalam pada itu, Sutekno mendedahkan Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu antara negeri yang mencatatkan nisbah tertinggi bagi setiap 100,000 penduduk terlibat dengan masalah penyalahgunaan, manakala Selangor mencatatkan jumlah penagih tertinggi.
Beliau berkata, antara faktor yang menyebabkan golongan remaja dan belia terjebak adalah apabila waktu lapang mereka tidak diisi dengan sebarang aktiviti.
Justeru, katanya, pihaknya melancarkan Skuad Antidadah pada tahun ini untuk mempelopori penganjuran aktiviti berfaedah bagi golongan belia.
“Kita menyasarkan untuk menarik seramai satu juta ahli Skuad Antidadah menjelang pertengahan tahun depan dan setakat ini, kita telah memperoleh seramai 120,000 ahli.” katanya.
Selain itu, pihaknya turut menyasarkan kadar penagihan dadah berada bawah 400 orang dalam kalangan 100,000 penduduk menjelang 2025, berbanding 426 orang daripada 100,000 penduduk direkodkan tahun lepas, menerusi pelbagai inisiatif agensi itu.
Sutekno turut menasihatkan ibu bapa supaya tidak menyembunyikan ahli keluarga yang terkesan dengan ketagihan dadah dan tampil ke AADK untuk mendapatkan rawatan.
“Mencegah itu lebih baik daripada mengubati dan ia perlu bermula dari rumah,” katanya.