Cukai gula bagus, tapi banyak lagi perlu buat, kata pakar

Cukai gula bagus, tapi banyak lagi perlu buat, kata pakar

Bekas Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye menekankan perlunya mendidik orang awam mengenai tabiat baik.

Dr Lee Boon Chye berkata, saringan kesihatan awam boleh dilakukan menerusi kolaborasi antara kementerian kesihatan, klinik kesihatan kerajaan, dan persatuan penduduk.
PETALING JAYA:
Pakar menggesa kerajaan melakukan lebih banyak bagi menangani peningkatan kes penyakit tidak berjangkit (NCD), termasuk diabetes dan obesiti.

“Cukai gula benda bagus, tetapi saya fikir lebih banyak perlu dilakukan. Kita perlu mewujudkan kesedaran dalam kalangan orang ramai,” kata Dr Loo Chee Yean dari Pusat Kesihatan Sri Kota kepada FMT.

Loo berkata, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada 2019 menunjukkan hampir satu dalam lima rakyat Malaysia (18.3%) hidup dengan diabetes.

Loo mengaitkannya dengan bilangan tinggi iklan minuman bergula di media sosial.

Beliau menggesa kerajaan menggunakan media sosial bagi meningkatkan kesedaran terhadap risiko dikaitkan dengan pengambilan berlebihan minuman bergula, dan menggalakkan kehidupan lebih sihat kepada orang ramai.

Walaupun cukai gula diperkenalkan empat tahun lalu, Kertas Putih Kesihatan melaporkan diabetes dan obesiti masih menjadi punca kematian tertinggi di negara ini.

Dengan kadar 40 sen seliter, cukai terhadap minuman bergula yang mengandungi lebih 5g gula per 100ml diperkenalkan sebagai langkah memerangi diabetes serta obesiti.

Bekas Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye bersetuju cukai gula baik sebagai langkah pemula, tetapi menegaskan perlunya meningkatkan lebih mendidik orang awam untuk mengamalkan tabiat lebih sihat.

“Jika orang ramai kurang mengambil (minuman bergula) mereka boleh beralih kepada memakan biskut atau (makanan lain) dengan kandungan karbohidrat lebih tinggi, atau minum teh tarik dan bukannya minuman dalam tin. Jadi, akhirnya keadaan mungkin lebih teruk,” katanya kepada FMT.

Lee mencadangkan kementerian kesihatan berkolaborasi dengan klinik kesihatan setempat dan persatuan penduduk untuk menganjurkan inisiatif yang dapat membantu memantau kesihatan umum orang ramai.

“Menerusi klinik kesihatan kerajaan, saringan dan pemeriksaan susulan dapat dilakukan untuk melihat metrik kesihatan (seseorang) dan apa yang perlu dilakukan, selain (mencadangkan) perubahan gaya hidup sewajarnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.