
Ketua Polis Putrajaya, Asmadi Abdul Aziz, berkata berdasarkan pemerhatian awal menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi, pemandu lelaki berusia 25 tahun itu berpeluang mengurangkan impak dengan memberhentikan kenderaannya.
Katanya, namun pemandu itu mengakui tidak sempat memberhentikan lori yang difahamkan dalam keadaan baik dan baru digunakan.
“Rakaman CCTV menunjukkan lori berubah haluan dari tengah ke kiri dan melakukan rempuhan, dia (pemandu lori) ada peluang berhentikan treler kerana kenderaan lain telah berhenti.
“Kita jangka (punca kejadian) mungkin dari segi teknikal lain atau main telefon,” katanya ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Mengenai identiti dua penunggang motosikal berusia 25 dan 39 tahun yang maut dalam kejadian 10.15 pagi itu, Asmadi berkata pihaknya akan memaklumkannya selepas waris mangsa melakukan pengecaman.
Asmadi berkata, ketika kejadian anggota polis trafik sedang mengadakan latihan dan mengenal pasti laluan untuk kejohanan basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) esok.
“Dari segi tata cara kita patuhi SOP ditetapkan, daripada pemerhatian CCTV memang cantik dan tidak ada masalah…cuma lori itu kita tidak tahu sama ada terleka atau atau main handphone (telefon bimbit),” katanya.
Beliau berkata pihaknya juga akan memohon reman pemandu itu dan melakukan ujian air kencing.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menyiasat sama ada lori tersebut membawa lebih muatan ketika kejadian.
“Mungkin jika ia terlebih muatan akan memberi kesan kepada brek,” katanya kepada media selepas majlis di Tun Razak Exchange (TRX).