Pemandu, 2 penumpang maut bas ekspres langgar pokok

Pemandu, 2 penumpang maut bas ekspres langgar pokok

Kejadian yang berlaku di Kuala Lipis berhampiran Merapoh itu juga menyebabkan beberapa penumpang cedera.

Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam bas ekspres. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Seorang pemandu dan dua penumpang maut selepas bas ekspres dua tingkat yang dinaiki mereka terbabit dalam satu kemalangan di Kuala Lipis, Pahang, awal pagi tadi.

Menurut Sinar Harian, bas berkenaan yang dalam perjalanan dari Kuala Krai, Kelantan dilaporkan terbabas sebelum melanggar pokok di susur keluar Kampung Kubang Musa, dekat Merapoh.

Mangsa yang maut adalah pemandu bas Abd Aziz Daud, 56, dan dua penumpang Mohd Syukri Mat Noor, 55, dan warga Bangladesh, Hossain Kamal, 41.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, bas berkenaan membawa 18 penumpang dan dua pemandu.

Difahamkan, beberapa penumpang juga dilaporkan cedera dalam kemalangan itu.

“Kita menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian ini pada jam 1.55 pagi dan enam anggota bersama tiga pegawai dari Balai Bomba Kuala Lipis serta tiga jentera dikerahkan ke tempat kejadian.

“Operasi juga menerima bantuan dari Balai Bomba Gua Musang dan Pasukan Bomba Sukarela(PBS) Merapoh,” katanya.

Katanya, pasukan bomba terlibat membuat operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat.

Tambah Ismail, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lipis dan Hospital Gua Musang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.