Kasim Samat calon PN PRK Pelangai

Kasim Samat calon PN PRK Pelangai

Kerusi DUN Pelangai kosong susulan kematian penyandang, Johari Harun dalam nahas pesawat pada 17 Ogos lalu.

Kasim Samat bertanding di DUN Pelangai pada PRU15 lalu namun tewas dalam saingan empat penjuru. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) menamakan Timbalan Ketua PAS Bentong Kasim Samat sebagai calon untuk PRK DUN Pelangai pada 7 Okt depan.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Kerusi DUN Pelangai yang dianggap sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN), kosong susulan kematian penyandang, Johari Harun dalam nahas pesawat di Shah Alam pada 17 Ogos lalu.

Penamaan akan diadakan pada Sabtu, manakala pengundian awal akan diadakan pada 3 Okt.

Pada PRU15, PN mempertaruhkan Kasim di DUN itu namun tewas di tangan Johari, yang meraih majoriti 4,048 undi dalam saingan empat penjuru.

Sementara itu, pada sidang media pengumuman calon PN, Tuan Ibrahim berkata Kasim atau lebih dikenali dengan panggilan cikgu Kasim merupakan calon anak tempatan dan bekas guru yang pernah mengajar di banyak sekolah di DUN Pelangai.

Beliau berkata walaupun ramai yang mengatakan kerusi itu adalah kubu kuat BN, namun beliau percaya corak pengundian telah berubah pada PRU14 dan PRU15, di mana PAS menunjukkan peningkatan sokongan.

“Kita (PN) juga menambah kerusi (DUN) daripada lapan pada PRU14 kepada 17 pada PRU15.

“Pelangai akan meneruskan momentum ini,” katanya.

Tuan Ibrahim juga berkata pemilihan itu juga berdasarkan kriteria anak tempatan yang menjadi kehendak pengundi di DUN berkenaan.

“Orang Pelangai mahukan Adun Pelangai, bukan yang tinggal di tempat lain,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.