
Amirudin berkata pihak berkuasa sudah menerangkan isu terbabit dalam pelbagai pelbagai platform sebelum ini.
“Teknologi sudah berubah. Ini bukan insinerator yang ada pada tahun 90-an. Sekarang sudah berubah,” katanya mengulas bantahan pelbagai pihak terhadap projek insinerator kerana bimbang penduduk Rawang dan Kuang berdepan risiko pencemaran.
Amirudin berkata sesi dialog akan diadakan secara berterusan bagi menjawab isu yang timbul.
Beliau berkata, segala bantahan dan kerisauan pihak berkenaan akan didengari dan difahami secara menyeluruh.
“Kita kena berdialog dengan mereka sebab isu di sini kita ada menyediakan satu tapak untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dan pada masa sama kita juga perlukan tanah itu supaya mereka tidak dihantar jauh (di Tanjung 12, Sepang),” katanya selepas menghadiri majlis pelancaran lori kompaktor baharu KDEB Waste Management (KDEBWM).
Projek loji insinerator kepada tenaga itu dirancang akan dipantau KDEBWM dan YTL Power International Bhd.
Saiz insinerator itu tidak dimaklumkan dalam pelan projek namun dinyatakan ia boleh memproses 2,400 tan sisa sehari dan menghasilkan tenaga sebanyak 58 megawatt.
Pelan itu turut menyebut projek dijangka akan dibina di sebelah sebuah tasik di antara Batu Arang dan Bandar Tasik Puteri.