
Universiti itu berkata, pelajar berkenaan didapati terdiri beberapa kelompok iaitu tidak mengemas kini status penajaan atau mempuyai tajaan pendidikan atau memerlukan bantuan kewangan.
“Bagi pelajar yang berhutang di bawah tajaan, pendaftaran untuk semester berkenaan adalah dibenarkan namun menjadi tanggungjawab pelajar berkenaan untuk memastikan pihak penaja membuat penyelesaian hutang tersebut.
“Justeru, pelajar di bawah tajaan boleh berhubung secara terus dengan pihak Jabatan Bendahari Universiti Malaya dalam perkara melibatkan yuran tajaan dan perihal pendaftaran,” menurut pentadbiran UM dalam kenyataan.
UM berkata, pelajar kategori itu juga dibenarkan mendaftar dan perlu menyelesaikan baki yuran sebelum minggu ketujuh sesi akademik semester 1 2023/2024.
Penjelasan itu menyusul selepas Kesatuan Mahasiswa UM (KMUM) meminta pentadbiran universiti membatalkan pelaksanaan dasar itu, yang mewajibkan pelajar membayar yuran penuh antara RM1,000 hingga RM2,000.
Pertubuhan itu menyifatkan dasar berkenaan menindas hak pelajar dan harus dihapuskan serta-merta kerana akan menyebabkan golongan tidak berkemampuan terlepas mengikuti sesi pembelajaran pada semester akan datang.
UM menjelaskan institusi berkenaan mengalami trend kenaikan penghutang pelajar yang memerlukan pihaknya melaksanakan polisi berkenaan.
Menurut pusat pengajian itu, penghutang pelajar menunjukkan trend menaik iaitu sebanyak RM51.20 juta pada 30 Jun berbanding RM47.33 juta pada 31 Dis tahun lalu.
“Pihak universiti berkeyakinan bahawa berdasarkan ketetapan di atas, pelaksanaan polisi ini tidak akan membebankan pelajar dan mampu membantu usaha universiti dalam menangani isu penghutang pelajar yang dihadapi.”