Mosti belanja RM5.3 juta bantu tingkat jaminan keselamatan

Mosti belanja RM5.3 juta bantu tingkat jaminan keselamatan

Kerja naik taraf itu akan bermula pada tahun ini sehingga 2025 dibawah Agensi Nuklear Malaysia.

Kerajaan akan meningkatkan produktiviti makanan melalui aplikasi teknologi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sebanyak RM5.3 juta diperuntuk untuk menaik taraf kemudahan dan makmal aplikasi teknologi nuklear dalam pertanian bagi mengatasi masalah keselamatan dan jaminan makanan pada masa depan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata projek itu akan bermula pada tahun ini sehingga 2025 dilaksanakan Agensi Nuklear Malaysia.

“Ia bagi meningkatkan keselamatan dan jaminan makanan melalui peningkatan produktiviti agromakanan melalui teknik biak baka mutasi.

“Di samping itu, teknik isotop stabil digunakan bagi menentukan ketulenan makanan serta mengesahkan asal usul produk tersebut,” katanya kepada Dewan Rakyat.

Chang Lih Kang.

Menurut Chang, kerajaan telah menghasilkan beberapa inovasi dengan mengadaptasikan teknologi pertanian moden iaitu pertanian jitu melalui penggunaan imej satelit dan sistem maklumat geografi (GIS).

Jelasnya, usaha itu telah digunakan dalam Sistem Maklumat Geospatial Tanaman Padi (MakGeoPadi) di 12 jelapang padi seluas 206 ribu hektar di seluruh Malaysia.

“Pengoperasian Sistem MakGeoPadi juga terbukti berupaya mempercepat dan menjimatkan agihan bantuan subsidi padi kerajaan secara bersasar kepada pesawah yang layak sahaja berdasarkan maklumat kawasan sebenar bertanam padi yang diekstrak melalui imej satelit beresolusi sangat tinggi 0.5 meter,” katanya.

Chang berkata demikian mengulas isu yang dibangkitkan Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) berkaitan pembangunan teknologi digital serta teknologi pertanian yang dikendalikan oleh agensi Kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.