Konvoi bantuan terbaharu Arab Saudi tiba di Gaza

Konvoi bantuan terbaharu Arab Saudi tiba di Gaza

Bantuan oleh Pusat Bantuan dan Kemanusiaan Raja Salman itu membawa bakul makanan dan susu bayi untuk membantu rakyat Palestin.

Arab Saudi menghantar konvoi bantuan terbaharu yang tiba di Semenanjung Gaza untuk memenuhi keperluan asas rakyat Palestin di tengah-tengah berlakunya kebuluran. (Gambar AP)
GAZA:
Konvoi bantuan terbaharu Arab Saudi tiba di Semenanjung Gaza membawa bakul makanan dan susu bayi sebagai sebahagian daripada usaha kemanusiaan berterusan Kerajaan Arab Saudi untuk menyokong rakyat Palestin, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Bantuan yang disalurkan oleh Pusat Bantuan dan Kemanusiaan Raja Salman (KSrelief) itu bertujuan memenuhi keperluan asas kanak-kanak dan keluarga yang terjejas akibat krisis kemanusiaan yang semakin meruncing, serta memperkukuh keselamatan makanan di tengah-tengah kebuluran di wilayah berkenaan.

Pusat Kebudayaan dan Warisan Arab Saudi, selaku rakan pelaksana KSrelief di Gaza, telah menerima konvoi itu sebagai persediaan untuk pengagihan segera bantuan kepada keluarga penerima di pelbagai kawasan.

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada kempen yang dilancarkan untuk memberikan bantuan kepada rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Arab Saudi untuk meringankan penderitaan mereka serta mengurangkan kesan situasi kemanusiaan semasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.