
Serbuan dilakukan di sekitar Shah Alam, Kajang, Subang Jaya, Petaling Jaya, Sepang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang kemudiannya berjaya membawa kepada penahanan 14 suspek.
Suspek membabitkan sembilan lelaki dan dua wanita tempatan, selain dua lelaki warga Sri Lanka dan seorang wanita Thailand yang berusia antara 21 hingga 42 tahun.
Turut diserbu, dua makmal dadah haram dan pelbagai dadah dirampas termasuk kokain, ketamin, methamphetamine, heroin dan ganja.
Timbalan Ketua Polis Selangor, S Sasikala Devi, berkata salah satu kes membabitkan seorang lelaki yang cuba menyogok anggota polis bagi mengelak ditahan selepas ketamin bernilai RM2.7 juta ditemukan dalam but keretanya di Bukit Puchong pada 13 September lalu.
“Suspek berusia 22 tahun ditahan ketika berjalan menuju ke keretanya dan menemukan sembilan bungkusan dadah seberat 45.4 kilogram di ruangan khas but berkenaan.
“Lelaki tempatan itu kemudian cuba menawarkan sogokan RM100,000 supaya tidak ditahan polis,” katanya pada sidang media di IPK Selangor di sini, hari ini, menurut Berita Harian.
Katanya, kes terbaharu membabitkan wanita Thailand dipercayai keldai dadah yang ditahan dengan rampasan kokain bernilai RM854,000 di KLIA, petang kelmarin.
Beliau berkata pekerja spa berusia 26 tahun itu ditahan di balai ketibaan ketika pemeriksaan rambang polis selepas dilihat membawa bagasi dalam keadaan mencurigakan sebelum empat bungkusan kokain seberat 4.27 kilogram berjaya ditemukan dalam bagasi.
“Turut dirampas, satu ‘goldbar’, sebentuk cincin dan wang tunai RM500. Polis percaya dadah berkenaan bukan untuk pasaran negara ini tetapi bagi negara luar di Asia Tenggara,” katanya.
Tambahnya, semua dadah lain yang dirampas termasuk dua makmal haram di Setia Alam dan Puchong dipercayai bagi pasaran di sekitar Lembah Klang.
“Semua suspek termasuk dua lelaki Sri Lanka yang dipercayai bertindak sebagai ahli kimia direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.