
Pengarahnya Mohammad Hafiz Ishak berkata serbuan dilakukan di sebuah gudang lama di Jalan Puchong, Kuala Lumpur, pada 12.30 tengah hari, hasil risikan dan maklumat orang awam.
Beliau berkata, nilai rampasan bir itu berjumlah RM362,843 dan pihaknya turut menyita sebuah mesin pencetak yang digunakan untuk mencetak tarikh luput pada tin minuman itu.
“Bir tersebut mendapat permintaan tinggi dan menerusi risikan mendapati minuman itu diseludup dan disimpan di dalam gudang yang terletak di kawasan terpencil,” katanya pada sidang media.
Hafiz berkata, minuman itu dikhuatiri telah tamat tempoh sebelum ia diseludup di negara ini serta dipercayai diimport dari negara Asia dan Eropah.
Beliau berkata, modus operandi sindiket mencetak tarikh luput bertujuan mengaburi pihak berkuasa dan orang awam dan bir itu diedarkan untuk pasaran tempatan serta dijual pada harga murah.
Katanya, setakat ini tiada tangkapan dibuat namun pihaknya mengenal pasti dalang sindiket tersebut dan kini dalam proses menyiapkan beberapa dokumen sebelum tindakan seterusnya dilakukan.
Beliau berkata, semua bir tersebut disyaki barang belum lulus kastam dan Barangan Larangan Import bawah Butiran 3, Bahagian lI, Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74 (1)(a) Akta Eksais 1976.