Permatang Pauh, Bagan Datuk dicadang lokasi himpunan susulan, kata Tun Faisal

Permatang Pauh, Bagan Datuk dicadang lokasi himpunan susulan, kata Tun Faisal

Tun Faisal Ismail Aziz berkata Permatang Pauh dicadangkan untuk dijadikan simbol 'pengebumian rasmi reformasi'.

Tun Faisal Ismail Aziz berkata desakan akan berterusan selagi kerajaan ‘tidak mengambil endah’.
KUALA LUMPUR:
Himpunan Selamatkan Malaysia bercadang mengadakan himpunan susulan di Permatang Pauh, Pulau Pinang untuk dijadikan simbol “pengebumian rasmi reformasi” jika kerajaan gagal bertindak terhadap tuntutan mereka, menurut seorang ahli jawatankuasa sekretariatnya.

Tun Faisal Ismail Aziz berkata turut dicadangkan himpunan di Bagan Datuk, Perak. “Rata-rata ramai peserta himpunan nyatakan semalam yang mereka akan terus turun bersama-sama memberi desakan kepada PM10 dan kerajaan di Permatang Pauh dan di Bagan Datuk,” katanya.

Beliau menambah desakan akan berterusan selagi kerajaan “tidak mengambil endah” dan “membetulkan keadaan”.

Permatang Pauh sering dikaitkan dengan Anwar Ibrahim yang menjadi wakil rakyat kawasan Parlimennya selama beberapa penggal, daripada 1982. Kawasan itu kini diwakili oleh Muhammad Fawwaz Mohamad Jan daripada PAS. Bagan Datuk pula dilihat sebagai kawasan Presiden Umno Zahid Hamidi yang menjadi wakil rakyatnya sejak 1999.

Semalam, sekumpulan orang berjalan dari Kampung Baru di ibu negara ke IPD Dang Wangi untuk membuat laporan polis berkait isu Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 tuduhan rasuah, pecah amanah, dan pengubahan wang membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Mahkamah pada 4 Sept lalu melepaskan Zahid selepas timbalan pendakwa raya memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap beliau pada peringkat itu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah dalam keputusannya memaklumkan pihak pendakwaan memberikan beberapa alasan termasuk keperluan menyiasat tuduhan dengan lebih lanjut dan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kandungan buku oleh bekas peguam negara, Tommy Thomas.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak campur tangan dan peguam negara mempunyai kuasa sepenuhnya dalam mengendalikan kes berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.