Jawatankuasa Parlimen dijangka undang Idrus, Terrirudin perjelas DNAA Zahid bulan depan

Jawatankuasa Parlimen dijangka undang Idrus, Terrirudin perjelas DNAA Zahid bulan depan

Pengerusi JKPK William Leong berkata beberapa isu yang bakal diajukan kepada bekas peguam negara dan penggantinya sedang diteliti.

Peguam Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh (kiri) dan bekas peguam negara, Idrus Harun akan dipanggil menjelaskan isu DNAA Zahid Hamidi kepada JKPK.
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi Parlimen (JKPK) dijangka akan mengundang bekas peguam negara Idrus Harun dan penggantinya, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh bulan depan, untuk mendengar penjelasan berhubung isu lepas tanpa bebas (DNAA) Presiden Umno Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan kes Yayasan Akalbudi.

Pengerusi William Leong berkata pihaknya sedang meneliti beberapa isu yang bakal diajukan kepada mereka.

“JKPK juga memberi keutamaan untuk menangani salah faham dalam kalangan orang ramai yang beranggapan peguam negara menerima arahan daripada perdana menteri.

“Ramai yang beranggapan sedemikian tetapi ia salah sebenarnya dan peguam negara tidak memuktamadkan keputusan berdasarkan arahan daripada perdana menteri,” katanya menurut Berita Harian.

Sebelum ini Ahli Parlimen Selayang itu memberitahu Dewan Rakyat bahawa suatu laporan akan dibentangkan selepas siasatan.

Mahkamah pada 4 Sept, melepas tanpa membebaskan Zahid daripada 47 tuduhan rasuah, pecah amanah, dan pengubahan wang membabitkan dana Yayasan Akalbudi; selepas timbalan pendakwa raya memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap beliau pada peringkat itu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah dalam keputusannya memaklumkan pihak pendakwaan memberikan beberapa alasan termasuk keperluan menyiasat tuduhan dengan lebih lanjut dan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kandungan buku oleh bekas peguam negara, Tommy Thomas.

JKPK dalam kenyataan memaklumkan prosiding dipanggil kerana melibatkan kes berprofil tinggi seperti pembatalan notis rayuan oleh Mahkamah Rayuan terhadap kes pindaan laporan audit 1MDB; pembatalan pertuduhan Mahkamah Tinggi terhadap bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin melibatkan empat pertuduhan predikat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009; selain kes DNAA Zahid.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.