
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang memberi jaminan itu berkata, Sultan Abdullah masih terkesan dengan pengalaman dilalui baginda dalam kembara selama 11 hari itu.
“Khamis lepas, saya menghadap Yang di-Pertuan Agong dan baginda masih sangat terkesan bicara dengan penuh perasaan bergelinang air mata kerana terpegun dengan kasih sayang rakyat tunjukkan kepada baginda berdua,” katanya ketika berucap dalam sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan di sini, malam ini.
Rombongan Sultan Abdullah dan Tunku Azizah memulakan perjalanan kembara itu di Tawau, Sabah pada 3 Sept lalu sebelum mengakhiri penjelajahan 11 hari di Telok Melano, selatan Sarawak pada 13 Sept lalu.
“Seluruh negara, bukan saja Sabah dan Sarawak, dikejutkan dengan sambutan hangat serta rasa kasih kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong (sepanjang kembara itu).”
Beliau berkata, Sarawak berjaya melangkah jauh daripada imejnya sewaktu Malaysia ditubuhkan 60 tahun dahulu untuk menjadi negeri paling ke depan di negara ini dan berpotensi menjadi lebih maju lagi.
“Hari ini, Sarawak bukan Sarawak pada 1963. Hari ini, Sarawak mempunyai potensi menjadi rantau atau hab tapak pembangunan industri hijau, hidrogen dan beberapa aspek hiliran yang paling hebat di rantau Asean.”
Katanya, kesungguhan ditunjukkan Premier Sarawak, Abang Johari Openg untuk memajukan negeri itu menerusi beberapa inisiatif baharu menyebabkan beliau diminta memberi pandangan dalam mesyuarat Jemaah Menteri petang tadi di Wisma Bapa Malaysia di sini.
“Sebelum mesyuarat Jemaah Menteri tadi, bayangkan kalau dulu kita datang bagi kuliah kepada pemimpin Sarawak, hari ini saya minta Abang Johari beri pandangan dan kuliah kepada menteri persekutuan.
“Saya sebut ini tanpa bermaksud memberi pujian berlebihan kepada sahabat saya Abang Johari, tetapi kenyataannya, belum pernah ada mesyuarat Jemaah Menteri persekutuan di mana pemimpin negeri diminta memberi pandangan tentang kemajuan bidang baharu diterokai dengan jayanya berdasarkan pelaksanaan di Sarawak.”
Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sarawak (GRS) yang memberi dukungan kuat untuk menjunjung titah Agong bagi mewujudkan kerajaan perpaduan.
Beliau berkata, hanya menerusi kerjasama utuh dalam kalangan komponen kerajaan perpaduan mampu membentuk keadaan politik stabil dan menyatupadukan rakyat bagi mengangkat semula ekonomi negara.
Katanya, kesan kerjasama ini juga membolehkan kerajaan perpaduan menumpukan strategi pembangunan di Sabah dan Sarawak, khususnya dalam mempersiapkan dua wilayah itu susulan perancangan Indonesia memindah ibu negaranya ke Nusantara di Kalimantan.