Himpunan Selamatkan Malaysia berakhir dengan laporan polis

Himpunan Selamatkan Malaysia berakhir dengan laporan polis

Peserta dilihat di kaki lima jalan sekitar Masjid Kg Baru dengan kad "Dakwa Zahid" dan bergerak beramai-ramai ke IPD Dang Wangi.

Penganjur Himpunan Selamatkan Malaysia mengumumkan tiada perhimpunan..
KUALA LUMPUR:
Himpunan Selamatkan Malaysia berlangsung dengan peserta berkumpul di sekitar Masjid Jamek Kampung Baru dan bergerak beramai-ramai ke IPD Dang Wangi.

Di sebalik semua aktiviti itu, penganjur mengumumkan bahawa tiada perhimpunan diadakan dan pergerakan ke IPD Dang Wangi itu bukan perarakan.

Sebelum bergerak ke balai polis, peserta ‘Himpunan Selamatkan Malaysia’ diilihat berada di kiri kanan jalan sekitar masjid sambil memegang kad ‘Dakwa Zahid’, manakala penganjur memberikan ucapan.

Penganjur Himpunan Selamatkan Malaysia menyifatkan pergerakan ke IPD Dang Wangi bukan perarakan.

“Pimpinan di sini akan menuju ke IPD Dang Wangi. Kami akan berjalan kaki melalui hadapan Sogo. Siapa nak ikut, siapa tak nak ikut terserah tapi kita akan berjalan menuju ke IPD Dang Wangi untuk buat laporan,” kata wakil sekretariat Himpunan Selamatkan Malaysia, Nazir Helmi yang juga ketua penerangan Pemuda PAS.

Nazir menyifatkan perjalanan sejauh 2km ke IPD Dang Wangi itu sebagai ‘mengiring’ pemimpin.

“Ini bukan perarakan tapi nak iringi pimpinan. Jangan lakukan provokasi. Pastikan tak ganggu orang ramai,” katanya sebelum perjalanan bermula.

Peserta berhenti di Sogo di mana mereka mendengar ucapan sambil menunggu wakil selesai membuat laporan polis.

Laporan polis akan dibuat oleh ahli jawatankuasa penganjur, Tun Faisal Ismail Aziz.

“Saya akan membuat laporan dan mendesak untuk dakwa semula Zahid Hamidi,” katanya.

Pergerakan manusia itu terhenti di hadapan Sogo, yang merupakan lokasi asal ‘Himpunan Selamatkan Malaysia’ sebelum bertukar ke Kampung Baru.

Di situ, peserta mendengar ucapan sambil menunggu wakil selesai membuat laporan polis.

Antara watak yang kelihatan di IPD Dang Wangi adalah Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris, Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional Tun Faisal Ismail Aziz, dan Ketua Penerangan Pejuang Muhammad Rafique Rashid Ali.

Mereka memasuki balai polis kira-kira 2.30 petang tadi.

Selepas membuat laporan polis, Tun Faisal ke Sogo di mana beliau menjelaskan laporan polis yang dibuat kepada peserta.

Katanya, laporan itu bagi meminta polis menyiasat sama ada terdapat perkara meragukan di sebalik isu Presiden Umno Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan (DNAA), dan semua individu berkaitan termasuk peguam negara terdahulu, Idrus Harun.

Dalam pada itu, Tun Faisal menyatakan tiga tuntutan acara hari ini.

“Pertama, dakwa Zahid. Kedua, bebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Peguam Negara daripada kuasa eksekutif, dan ketiga, nak keadilan dilihat diberikan kepada semua orang,” katanya.

Acara berakhir sekitar 3.30 petang tadi.

Himpunan tak patuh akta

Sementara itu, polis pada sidang media petang tadi berkata himpunan itu tidak patuh kepada Akta Perhimpunan Aman.

Ditanya sama ada penganjur akan dipanggil berhubung perkara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid berkata pihaknya akan meneliti secara menyeluruh sebelum membuat tindakan susulan.

“Kita akan lihat kembali, selepas ini, apakah tindakan susulan yang wajar yang kita boleh ambil,” katanya.

Beliau juga berkata polis akan mengkaji laporan yang dibuat oleh Tun Faisal. “Kita akan kelaskan selepas kita meneliti kandungan,” katanya.

Polis menganggarkan kira-kira 800 hingga 850 orang menyertai himpunan tadi, dan 16 orang dikenal pasti membuat ucapan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.