17 ditahan berkait persundalan di JB

17 ditahan berkait persundalan di JB

Polis menjalankan operasi berterusan bagi mengawal dan mencegah kegiatan pelacuran di Johor.

Polis berkata mereka yang ditahan terdiri seorang lelaki dan 13 wanita warga asing serta tiga lelaki tempatan.
JOHOR BAHRU:
Polis menahan 17 individu disyaki terlibat kegiatan pelacuran dalam dua serbuan berasingan di bandar raya ini, Khamis lalu.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat, berkata dalam serbuan kira-kira 10.40 malam itu, mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki dan 13 wanita warga asing serta tiga lelaki tempatan, berusia 21 hingga 49 tahun itu.

Beliau berkata, turut dirampas 22 telefon bimbit, 27 kondom, lima gulung tisu, empat helai tuala, tiga keping kad akses, dua botol pelincir dan wang tunai berjumlah RM3,400 serta 50 dolar Singapura.

“Kita akan menjalankan operasi secara berterusan bagi mengawal dan mencegah kegiatan pelacuran di negeri ini,” katanya dalam kenyataan.

Kes disiasat bawah Seksyen 327A Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 372B KK, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan berkenaan boleh menyalurkannya kepada balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Polis Johor di talian 07 2212999 atau 07 2254677.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.