Bekas suami Loh gagal ubah perintah dapat hak jaga anak

Bekas suami Loh gagal ubah perintah dapat hak jaga anak

Tetapi, Mahkamah Tinggi membenarkan nafkah bulanan dikurangkan daripada RM3,000 kepada RM600 selepas peguam Loh Siew Hong tidak membantah.

Bekas suami Loh Siew Hong berdepan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Sungai Petani kerana menyebabkan kecederaan parah kepada Loh empat tahun lalu.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menolak permohonan Muhammad Nagahswaran Muniandy, bekas suami Loh Siew Hong untuk mengubah perintah hak penjagaan tiga anak mereka pada 2021.

Tetapi, Hakim Evrol Mariette Peters, membenarkan nafkah bulanan dikurangkan daripada RM3,000 kepada RM600 selepas peguam Loh, J Gunamalar tidak mengemukakan bantahan.

Pada 3 Julai lalu, Muhammad memfailkan perintah itu untuk diubah, atas alasan dia mahu hak penjagaan dan akses ke atas anak kembar perempuan berusia 14 tahun serta anak lelaki berusia 11 tahun.

Gunamalar membantah sebarang perubahan terhadap perintah sedia ada. Katanya, Muhammad berdepan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Sungai Petani kerana menyebabkan kecederaan parah kepada Loh empat tahun lalu.

“Satu daripada syarat diikat jamin ialah Muhammad tidak boleh mengganggu anak-anak yang berpotensi menjadi saksi dalam perbicaraan jenayah,” katanya dalam hujahannya di depan Peters.

Peguam itu berkata, beliau menerima pengurangan nafkah bulanan kerana Muhammad hanya membuat satu bayaran sejak 2021.

Peguam Malcolm Fernandez mewakili Muhammad.

Perceraian Muhammad dan Loh dimuktamadkan pada 23 Sept 2021. Namun, dia dikatakan membawa anak mereka ke Perlis, di mana dia mengislamkan mereka pada 7 Julai 2020 tanpa persetujuan Loh.

Mereka diletakkan bawah jagaan dan kawalan pendakwah Nazirah Nanthakumari Abdullah.

Loh memfailkan permohonan habeas corpus di Mahkamah Tinggi pada Februari 2022 dengan menamakan Nazirah dan sebuah NGO agama, tempat kanak-kanak itu berada, sebagai responden.

Permohonan itu dibenarkan Hakim Collin Lawrence Sequerah pada 21 Feb 2022, yang membuka laluan untuk pertemuan semula antara ibu dan tiga anaknya.

Pada Mac 2022, Loh memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar penukaran agama tiga anaknya secara sebelah pihak. Tetapi, Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh pada 11 Mei lalu memutuskan tiga anaknya masih beragama Islam, walaupun ditukar agama secara sebelah pihak oleh bapa mereka.

Rayuan Loh kepada Mahkamah Rayuan akan didengar 26 Sept ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.